Tidak ada sesiapa pun mahu dan meminta untuk memikul amanah itu. Tahu akan kelemahan dan kekurangan diri. Sering menolak dan mengelak adalah perkara yang ingin dilakukan. Namun sering sahaja 'tidak sempat' untuk melarikan diri. Tidak ada alasan atau keizinan diberikan.....
"Allah..." Hanya itu yang mampu dikatakan. "Baru cadang nak letak jawatan..." Kata saya pada diri...
Lain yang dirancang lain yang jadi... Perancangan Allah itu lebih mendahului. Dia Maha Mengetahui. Tidak mampu untuk berkata apa-apa lagi.
Kemudian pulang setelah tamat sesi sekolah. Menceritakan apa yang terjadi, ummi hanya ketawa kecil. Emm...
Ketika di Tingkatan Empat saya diberikan satu amanah. Sesuatu yang tak pernah diduga, yang mendebarkan saya ketika sebelum harinya. Sudah masanya... Namun, saya belum bersedia.
Sebelum tiba hari yang mendebarkan itu, saya agak risau, kerana saya bimbang saya dilantik sekali lagi. Tapi, itulah yang terjadi. Setelah diumumkan itu, saya agak terdiam. Terdiam dan termenung sebentar ketika itu. Memikirkan apa yang berlaku. Sungguh! Berat hati ini untuk menerimanya. Tapi, saya tidak mampu menolak kerana itu telah diputuskan dan disepakati oleh mereka yang melantik saya. Selang beberapa hari dari hari peristiwa tersebut, saya bertemu mata dengan mereka (senior) untuk meluahkan apa yang terbuku. Mohon supaya digantikan dengan orang lain yang lebih layak. Saya menyatakan kepada mereka bahawa saya tidak mampu untuk menjadi pemimpin. Saya tidak mampu untuk memikul amanah itu. Saya menyedari kelemahan dan kekurangan saya. Sambil dalam sendu, saya berkata bahawa agak berat untuk saya menerimanya. Saya tidak mempunyai ciri-ciri yang sepatutnya. Namun, apa yang keluar dari mulut mereka adalah sedikit 'brainwash' serta kata semangat.
"Ini nak kena tarbiyyah lagi ni..." kata seorang senior saya.
Tidak ada kata-kata yang saya dapat keluarkan untuk menolak jawapan mereka. Hanya sedikit sendu dalam kata-kata yang kedengaran. Masa berlalu, saya menerima dengan hati yang agak berat, namun tetap redha untuk menempuhinya. Teman-teman rapat yang sering menjadi penguat. Rapatnya kami sehingga ada yang perasan kebersamaan kami walau ke mana sahaja.
***************************************************
Di tahun seterusnya. Ketika itu, kebiasaannya semua senior (Tingkatan Lima) akan menjadi pengerusi serta timbalan bagi setiap persatuan/kelab-kelab di sekolah. Ketika di Tingkatan Lima, sekali lagi saya diamanahkan untuk sebuah jawatan dalam sebuah kelab. Kelab Usahawan Muda (UM). Semasa pertemuan pertama, untuk menentukan ahli jawatankuasa Kelab UM, saya turut tersenarai. Tapi, saya meminta tidak dipilih sebagai timbalan pengerusi kelab.
Sekali lagi saya cuba lari, saya memilih untuk menjadi setiausaha kelab dari timbalan pengerusi kelab. huhu.... Tindakan itu menyebabkan ustazah (masu'lah bagi kelab tersebut) bertemu dengan saya dan meminta agar saya menukar posisi.
"Tak boleh! Saya nak awak jadi timbalan pengerusi" antara kata-kata ustazah yang paling saya ingat.
"Adehhh... Kena jugakkk..." huhu...
(Memang dah duga apa yang akan berlaku. Juga tahu apa sepatutnya yang perlu dibuat, tapi tetap dengan keputusan... Mana tau kot-kot 'diizinkan' =D )
Saya akan menyerahkan tugas sebagai pengerusi majlis atau 'programmer' setiap kali waktu ko-kurikulum jika saya tidak tahu atau tiada ada idea untuk menjalankan program. Dalam masa yang sama, saya belajar bagaimana mahu menggerakkan kelab atau menjalankan program, atau memikirkan idea-idea untuk mengadakan program.
***************************************************
Entah kenapa saya asyik takut untuk menjadi pemimpin. Hinggakan di peringkat universiti saya masih mempunyai sikap itu. Namun, sekarang saya perlu menghadapi apa yang saya takut itu. Walaupun sebenarnya agak 'ketar lutut', saya tetap akan cuba.
Semester lepas amanah saya terlalu banyak, yang agak mengganggu emosi kerana saya hampir tiada masa untuk belajar. Di sebalik semua itu, saya diberi peluang untuk 'berehat' dari sebarang aktiviti. Kesannya, sangat meruntun jiwa. Lebih tidak keruan dibanding dengan waktu sibuk saya. Insaf saya dengan tempoh yang sangat menyiksa jiwa ini. Rela sibuk dengan pelbagai urusan dari diberi waktu terluang untuk study. Mengapa? Sukar untuk dijelaskan kerana situasi kita berbeza. Ujian dan masalah kita juga berbeza. Tarbiyyah yang diterima dari-Nya juga berbeza.
Kini, sudah hampir sampai masanya untuk saya mengundur diri. Pengalaman keterlibatan saya dalam pelbagai organisasi luar dan dalam kampus serta corak kepimpinannya banyak mengajar saya. Apatah lagi mengenai erti hidup. Semenjak di kolej saya berlatih, berlatih dan terus berlatih. Walaupun kadang-kadang saya agak letih. Letih untuk berdepan dengan masyarakat (peringkat mahasiswa) serta masalah-masalah yang melanda. Namun, di situlah manisnya dan ilmunya. Satu ilmu yang tidak terdapat dalam kelas-kelas harian.
Kebelakangan ini banyak perkara dan masalah yang berlaku. Semuanya dalam sekelip mata. Yang memerlukan keputusan-keputusan yang drastik. Di 'penghujung hayat' peranan saya inilah saya melihat segala perkara: dari sudut fikiran dan cara berfikirnya, dari sudut prioriti serta kesan-kesannya jika sekian-sekian perkara berlaku dan dilakukan, dari sudut kecekapan mengurus organisasi dan ahlinya (AJK), dari sudut pandang positif serta negatif sebagai seorang individu, muslim dan pemimpin, dari sudut interaksi, rujuk-merujuk, pengurusan emosi dan sebagainya. Sesuatu yang sangat-sangat bernilai bagi saya. Mungkin banyak cacat-celanya. Tapi bagi saya, inilah satu-satunya pengalaman yang sangat berharga.
Jutaan kemaafan saya pohonkan atas segala kelemahan serta kekurangan saya sebagai seorang manusia yang bergelar hambaNya. Maafkan jika saya tidak banyak membantu kalian. Maafkan jika saya tidak banyak menyumbang buah fikiran untuk memantapkan organisasi. Maafkan jika kelakuan dan sikap saya tidak menyenangkan selama ini. Maafkan jika saya tidak mengenali kalian dan kalian juga tidak mengenali saya. Maafkan juga atas tersalah tindakan yang menyebabkan 'kelembapan' gerak kerja. Tegurlah saya di mana sahaja. Bimbinglah saya untuk kebaikan. Saya sedia menerima teguran dan kritikan membina.
Doa saya, agar kalian dapat meneruskan tanggungjawab serta menghadapi mehnah dengan sabar, diteguhkan iman dan hati untuk terus istiqamah melaksanakan ibadah.
Jutaan terima kasih juga atas kerjasama serta komitmen yang kalian berikan, tunjuk ajar, bimbingan, perkongsian serta penerimaan kalian terhadap saya. Siapa pun kalian, tetap tidak akan saya lupakan. Walau pun sekali sahaja kita pernah bertemu.
0 comments:
Post a Comment