I made this widget at MyFlashFetish.com.

Pages


I made this widget at MyFlashFetish.com.

STAY TUNE....

STAY TUNE....
ISLAM

Thursday, November 11, 2010

BINGKISAN DARI YAMAN

(Harakah-Fikrah, Edisi Jumaat, 31 Julai 2009, m/s F14-F15)

Pesanan Dr. Abdul Karim Zaidan kepada pejuang Islam

Oleh: Imran al-Malizi


Beberapa bulan yang lalu, saya diberitahu bahawa beliau sedang sakit tenat dan enggan menerima tetamu. Beliau memerlukan rehat yang secukupnya lantaran faktor kesihatannya yang tidak mengizinkan.

Pada hari Selasa, 21 Julai 2009, kami diberi kesempatan untuk menziarahi guru kami, Dr. Abdul Karim Zaidan, seorang ulama yang berasal dari Iraq dan sangat dikenali di peringkat antarabangsa. Keluasan ilmunya membuatkan pandangan-pandangan beliau sentiasa diperlukan bagi menjawab persoalan-persoalan semasa yang berkaitan dengan Islam.

Kitab-kitab karangannya telah digunakan sebagai teks usrah semenjak sekian lama. Malah beberapa kitab karangannya juga digunakan sebagai sukatan pelajaran di kebanyakan universiti. Di antara karyanya yang masyhur ialah Usul al-Da’wah, al-Wajiz fi Usul al-Fiqh, al-Wajiz fi al-Qawa’id al-Fiqhiyyah, Nizhom al-Qadha’, al-Mufasshal dan banyak lagi.

Dr. Abdul Karim Zaidan sangat cintakan ilmu dan bersungguh-sungguh dalam menunaikan amanah dengan menyampaikan ilmu pengetahuan dan mendidik generasi umat ini. Beliau pernah berkata, “Aku sangat mengharapkan agar aku mati dalam keadaan sedang mengajar..”

Selepas solat Maghrib di Masjid Abu Bakar as-Siddiq di Hadda, kami berjalan kaki lebih kurang 5 minit ke kediaman Dr. Abdul Karim Zaidan. Kami disambut oleh anak lelakinya yang bernama Mohammed. Tidak lama menunggu di ruang tamu, Dr. Abdul Karim Zaidan muncul dengan dipapah oleh Mohammed.

Begitulah keadaannya ketika mengajar di dewan-dewan kuliah, walaupun dalam keadaan susah dan hampir tidak mampu untuk berjalan lagi, beliau tetap hadir demi menyampaikan ilmu. Usianya yang sudah mencecah 92 tahun tidak menghalangnya daripada terus menyumbangkan jasa kepada Islam.

Kami sangat bertuah kerana pertemuan pada malam itu dibuat sebelum beliau bertolak ke luar negara untuk mendapatkan rawatan kesihatan dan menziarahi kaum kerabatnya di sana. Kemungkinan beliau akan pulang semula ke Yaman selepas beberapa minggu.

Dalam pertemuan ini, Dr. Abdul Karim Zaidan telah sudi untuk menjawab beberapa persoalan yang kami kemukakan khusus mengenai perkembangan politik Islam di Malaysia.

Berbicara tentang tahaluf siyasi iaitu perjanjian atau persepakatan politik, PAS telah pun bekerjasama dengan parti-parti pembangkang yang lain dan berjaya menguasai beberapa buah negeri dalam pilihanraya ke-12 yang lalu. Kerjasama ini kemudiannya disebut sebagai Pakatan Rakyat. Mungkin ramai lagi yang masih keliru tentang istilah tahaluf siyasi ini dan kurang pasti apakah matlamatnya dan di manakah batas-batas dan garis sempadannya?

Bagi menjelaskan perkara ini, Dr. Abdul Karim Zaidan berkata, “Ianya (tahaluf siyasi) tidak dilakukan secara mutlak, hanya digunakan bagi mencapai matlamat tertentu. Matlamat ini mestilah perkara yang dibenarkan oleh syarak. Sebagai contoh, Nabi s.a.w membuat perjanjian dengan kaum Yahudi di Madinah dengan matlamat tertentu, contohnya mereka tidak boleh memerangi kaum Muslimin dan sebagainya. Begitulah juga bagi PAS dan parti yang bukan Islam.. (kerjasama ini) hanya bagi mencapai suatu matlamat tertentu.”

Tambah beliau lagi, “Sebagai contohnya, jika golongan sekular mahu menetapkan satu sistem pendidikan yang tidak menepati Islam, maka kamu jangan menerima dan bersetuju dalam perkara ini. Maksudnya, tahaluf siyasi ini dibenarkan dalam perkara yang tidak bercanggah dengan Islam.”

“Jika PAS bekerjasama dengan parti-parti pembangkang bagi mencapai matlamat yang menepati Islam dan syarak, ianya dibolehkan,” ujarnya.

Dengan syarat-syarat ini, maka kerjasama PAS dengan pihak-pihak lain hanyalah dibenarkan dalam mencapai matlamat tertentu yang menepati kehendak Islam, demi menegakkan keadilan yang menyeluruh, menolak kezaliman dan sebagainya. Selagi mana mereka bersetuju dengan prinsip-prinsip Islam yang diperjuangkan oleh PAS, maka kerjasama ini hendaklah diteruskan dalam perkara-perkara yang dipersetujui bersama.

Berkenaan dengan kewajipan bersama dengan perjuangan Islam, kata Dr. Abdul Karim Zaidan, “Parti Islam mesti dianggotai oleh semua orang-orang Islam. Mereka mesti meminta pandangan para ulama dalam semua perkara yang hendak dilakukan.”

Menyentuh tentang kepimpinan dalam satu jemaah yang memperjuangkan Islam pula, beliau menjelaskan, “Yang layak menjadi pemimpin ialah seorang alim dan faqih (ulama) pada waktu itu, jika tiada maka boleh dipertimbangkan orang yang memiliki ilmu yang mencukupi dan dia dapat memberi manfaat kepada masyarakat dan memiliki keperibadian yang baik. Dia mesti mendapatkan pandangan para ulama untuk membuat apa-apa keputusan.”

Menjawab persoalan adakah pandangan pemimpin jemaah wajib diikuti dan adakah boleh berlaku perbezaan pandangan dalam satu jemaah Islam, Dr. Abdul Karim Zaidan lebih suka mengatakan bahawa syura adalah satu kemestian bagi pimpinan jemaah Islam.

Katanya, “Asal hukum dalam Islam, bagi jemaah yang dipimpin oleh seorang ketua, dia mesti bermesyuarat dengan mereka (Majlis Syura). Apabila sudah menjadi ketetapan yang disepakati bersama, maka keputusan itu dilaksanakan. Orang-orang lain yang berada di dalam jemaah tidak boleh bertelingkah dan hendaklah berpegang dengan keputusan itu.”

Akhir sekali Dr. Abdul Karim Zaidan memberi pesanan kepada para pemuda-pemudi Islam. Katanya, “Nasihat saya kepada golongan pemuda dan pemudi Islam, supaya bertakwa kepada Allah. Kerana Allah memerintahkan Nabi s.a.w supaya bertakwa kepadaNya. Syarat-syarat bertakwa kepada Allah ialah melaksanakan perintah-perintahNy a dan berhenti daripada melakukan segala laranganNya.”

Katanya lagi, “Kamu mesti mempelajari ilmu agama dengan ikhlas kepada Allah Ta’ala dan bertujuan untuk beribadat kepadaNya. Untuk mendapatkan keredhaan Allah Ta’ala. Firman Allah, “Padahal mereka tidak disuruh kecuali supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ketaatan kepada-Nya dalam (menjalankan) agama yang lurus dan supaya mereka mendirikan solat dan menunaikan zakat; dan yang demikian Itulah agama yang lurus.” (Surah al-Bayyinah: 5).

Sesungguhnya bagi Dr. Abdul Karim Zaidan sendiri, beliau sangat arif dan telah menempuh banyak pengalaman pahit dan manis dalam memperjuangkan Islam.

Maka itu bagi para pejuang Islam, beliau sangat menekan kedua-dua pesanan ini dalam mengharungi perjuangan. Iaitu hendaklah bertakwa kepada Allah S.W.T dan mengikhlaskan diri dalam segala amalan kita.

Allah S.W.T akan memberikan pertolongan kepada orang-orang yang bertakwa dan hanya menerima amalan-amalan yang dilakukan dengan ikhlas. Dengan ini, kita akan dapat menghadapi segala cabaran dan halangan dengan penuh kesabaran.

Beliau juga mendoakan kesejahteraan orang-orang yang memperjuangkan agama Allah, “Kita memohon agar Allah mempertahankan orang-orang yang beriman, semoga Allah mempertahankan dan memelihara kamu, semoga Allah membalas kembali perbuatan orang-orang yang melakukan kejahatan. Allah Maha Berkuasa mengatasi mereka. Semoga Allah menerima daripada kamu sebaik-baik amalan. Sesungguhnya Dialah Tuhan yang Maha Pengampun ” Amin.


..:: Kisah 5 Perkara Aneh ::..

Abu Laits as-Samarqandi adalah seorang ahli fiqah yang masyhur. Suatu ketika dia pernah berkata, ayahku menceritakan bahawa antara Nabi- Nabi yang bukan Rasul ada menerima wahyu dalam bentuk mimpi dan ada yang hanya mendengar suara.

Maka salah seorang Nabi yang menerima wahyu melalui mimpi itu, pada suatu malam bermimpi diperintahkan yang berbunyi, "Esok engkau dikehendaki keluar dari rumah pada waktu pagi menghala ke barat. Engkau dikehendaki berbuat seperti berikut:-

Apa yang engkau hadapi, maka makanlah ia;

Apa yang engkau jumpa kemudiannya, maka engkau sembunyikan;

Apa yang engkau dapat kemudiannya, maka engkau terimalah;

Apa yang engkau hadapi kemudiannya, jangan engkau putuskan harapan;

Apa yang engkau tempuhi kemudiannya, larilah engkau daripadanya."

Pada keesokan harinya, Nabi itu pun keluar dari rumahnya menuju ke barat dan kebetulan yang pertama dihadapinya ialah sebuah bukit besar berwarna hitam. Nabi kebingungan sambil berkata, "Aku diperintahkan memakan perkara pertama yang aku hadapi, tapi sungguh aneh sesuatu yang mustahil yang tidak dapat dilaksanakan."

Maka Nabi itu terus berjalan menuju ke bukit itu dengan hasrat untuk memakannya. Ketika dia menghampirinya, tiba-tiba bukit itu mengecilkan diri sehingga menjadi sebesar buku roti. Maka Nabi pun mengambilnya lalu disuapkan ke mulutnya. Bila ditelan terasa sungguh manis bagaikan madu. Dia pun mengucapkan kalimah syukur, "Alhamdulillah".

Kemudian Nabi itu meneruskan perjalanannya lalu bertemu pula dengan sebuah mangkuk emas. Dia teringat akan arahan mimpinya supaya disembunyikan, lantas Nabi itu pun menggali sebuah lubang lalu ditanamkan mangkuk emas itu, kemudian ditinggalkannya. Tiba-tiba mangkuk emas itu terkeluar semula. Nabi itu pun menanamkannya semula sehingga tiga kali berturut-turut. Maka berkatalah Nabi itu, "Aku telah melaksanakan perintahmu." Lalu dia pun meneruskan perjalanannya tanpa disedari oleh Nabi itu, mangkuk emas itu keluar semula dari tempat ia ditanam.

Ketika dia sedang berjalan, tiba-tiba dia ternampak seekor burung helang sedang mengejar seekor burung kecil. Kemudian terdengarlah burung kecil itu berkata, "Wahai Nabi Allah, tolonglah aku."

Mendengar rayuan burung itu, hatinya merasa simpati lalu dia pun mengambil burung itu dan dimasukkan ke dalam bajunya. Melihatkan keadaan itu, lantas burung helang itu pun datang menghampiri Nabi itu sambil berkata, "Wahai Nabi Allah, aku sangat lapar dan aku mengejar burung itu sejak pagi tadi. Oleh itu janganlah engkau patahkan harapanku dari rezekiku."

Nabi itu teringatkan pesanan arahan dalam mimpinya yang keempat, iaitu tidak boleh putuskan harapan. Dia menjadi kebingungan untuk menyelesaikan perkara itu. Akhirnya dia membuat keputusan untuk mengambil pedangnya lalu memotong sedikit daging pehanya dan diberikan kepada helang itu. Setelah mendapat daging itu, helang pun terbang dan burung kecil tadi dilepaskan dari dalam bajunya.

Selepas kejadian itu, Nabi meneruskan perjalanannya. Tidak lama kemudian dia bertemu dengan satu bangkai yang amat busuk baunya, maka dia pun bergegas lari dari situ kerana tidak tahan menghidu bau yang menyakitkan hidungnya.

Setelah menemui kelima-lima peristiwa itu, maka kembalilah Nabi ke rumahnya. Pada malam itu, Nabi pun berdoa. Dalam doanya dia berkata, "Ya Allah, aku telah pun melaksanakan perintah-Mu sebagaimana yang diberitahu di dalam mimpiku, maka jelaskanlah kepadaku erti semuanya ini."

Dalam mimpi beliau telah diberitahu oleh Allah S. W. T. bahawa:

Apa yang engkau makan itu ialah perasaan marah. Pada mulanya nampak besar seperti bukit tetapi pada akhirnya jika bersabar dan dapat mengawal serta menahannya, maka marah itu pun akan menjadi lebih manis daripada madu.

Semua amal kebaikan (budi), walaupun disembunyikan, maka ia tetap akan nampak jua.

Jika sudah menerima amanah seseorang, maka janganlah kamu khianat kepadanya.

Jika orang meminta kepadamu, maka usahakanlah untuknya demi membantu kepadanya meskipun kau sendiri berhajat.

Bau yang busuk itu ialah ghibah (menceritakan hal seseorang). Maka larilah dari orang-orang yang sedang duduk berkumpul membuat ghibah."

Kelima-lima kisah ini hendaklah kita semaikan dalam diri kita, sebab kelima-lima perkara ini sentiasa sahaja berlaku dalam kehidupan kita sehari-hari. Perkara yang tidak dapat kita elakkan setiap hari ialah mengata hal orang, memang menjadi tabiat seseorang itu suka mengata hal orang lain.

Haruslah kita ingat bahawa kata-mengata hal seseorang itu akan menghilangkan pahala kita, sebab ada sebuah hadis mengatakan di akhirat nanti ada seorang hamba Allah akan terkejut melihat pahala yang tidak pernah dikerjakannya. Lalu dia bertanya, "Wahai Allah, sesungguhnya pahala yang Kamu berikan ini tidak pernah aku kerjakan di dunia dulu." Maka berkata Allah S. W. T., "Ini adalah pahala orang yang mengata-ngata tentang dirimu."
--

p/s: Janganlah kamu kisah akan kata-kata orang tentang dirimu. Biarkan orang mengata, asalkan kamu tahu apa yang kamu lakukan itu tidak menyalahi agama dan adab masyarakat. Manusia memang tidak akan berpuas hati dengan apa yang dia ada dan orang sekelilingnya ada. Maka bersyukurlah kamu sekiranya kamu tahu orang itu mengata tentang kamu.

Wallahu'alam


Wednesday, November 10, 2010

DI MANAKAH AKU TIKA INI???

Menelusuri denai-denai serta pepasiran di pantai... Tatkala mentari melabuhkan senja mengikut sunnah Tuhannya. Aku termenung kesepian... Mengenang nasib yang kian dirundung hiba. Mencambah kembali kenangan-kenanganku yang dulu.

Dulu.....
Aku pernah menjadi orang yang kecil jiwanya. Aku pernah menjadi orang yang sepi diamnya. Aku pernah menjadi badut yang berduka. Aku pernah menjadi orang yang kurang berhati perut. Aku pernah melalui alam kepayahan, kesedihan, kepayahan, kejahilan dan kedukaan.

Kemudian, aku dididik untuk menjadi orang penuh keriangan...
Aku pernah menjadi orang yang berjaya. Aku pernah menjadi orang yang riang tawanya. Aku pernah menjadi orang yang manis senyumnya. Setiap tawaku itu menyejukkan hati mereka, tiap senyumku itu melegakan jiwa mereka, tiap percakapanku itu didengari oleh mereka...

Kini....
Aku kembali menjadi yang dulu... Kian hari kian buntu. Tidak dapat menumpu terhadap apa yang berlaku. Telinga ini mendengar, namun seolah-olah ianya tuli. Terpinga-pinga aku menjawab apa yang dilontarkan. Tertanya-tanya aku apa yang diperkatakan. Maafkan aku. Aku 'tiada' di situ sebentar tadi. Walhal empunya diri mendengar dan memerhati apa yang terjadi.

Di manakah aku tika ini??? Siapakah aku saat ini??? Ke mana perginya aku di kala ini???

Ya Allah... Hanya itu yang mampu kukatakan...

*************************************

Ramadhan kini tiba lagi... Sudah dua tahun aku di perantauan. Ramadhan kali ini adalah ramadhan kali ketiga aku di sini. Berpuasa dengan sesungguhnya, berbuka dengan sekadarnya. Tiada bazar, tiada pasar, tiada hingar, tiada juga keluarga... Namun, kumasih punya 'adik-beradik'... Mereka ini yang kuteladani. Mereka ini yang kucontohi... Akhlak, idea, pemikiran, budi pekerti, dan sebagainya... Mereka juga idolaku...

Ramadhan, kuharap di ramadhan kali ini akan membuahkan hasil yang lebih baik dari yang sebelumnya. Tidak mahu kecewa sendiri. Acap mematahkan hati sendiri. Entah ke mana aku pergi... Kian hari kian buntu... Aku tidak mahu... Aku punya banyak tanggungjawab... Tidak boleh termenung jauh... Tidak boleh bermonolog - hanya membuang masa...

Entah apa yang difikiranku... Sering melihat menembusi dinding. Terkadang... Ahhh... Entahlah....

Ramadhan, moga dengan kehadiranmu ini akan menceriakan lagi hidupku. Dihidupkan malam-malam sepanjang ramadhan ini. Moga dengan kehadiranmu akan menambahbaik lagi hidupku ini, akan memberi erti yang lebih bermakna lagi...



Ramadhan Kareem....
- Allahu Akram...





by رملة الشاطرة on Sunday, August 8, 2010 at 6:40pm


.::: Bicara Rasa Bicara Hati :::.

Seni cindai pusaka purba,
Disandang mari di hujung bahu,
Jangan serang membabi buta,
Jerat maut sedia menunggu.

Seni cindai pusaka purba,
Disandang oleh panglima Melayu,
Kalau engkau sudah sedia,
Aku telah sedia menunggu.

Ahlul Bayt Fuqaihah

PENGUNJUNG

Twitter Delicious Facebook Digg Favorites More