I made this widget at MyFlashFetish.com.

Pages


I made this widget at MyFlashFetish.com.

STAY TUNE....

STAY TUNE....
ISLAM
Showing posts with label TOKOH. Show all posts
Showing posts with label TOKOH. Show all posts

Monday, July 18, 2011

Hilangnya Seorang Serikandi

KUALA LUMPUR, 18 Julai: Lebih 2,000 orang terdiri daripada ahli keluarga, rakyat dan pemimpin parti politik menghadiri pengebumian ahli Parlimen Titiwangsa, Allahyarhamah Dr. Lo' Lo' Mohd Ghazali di Tanah Perkuburan Islam kampung Datuk Keramat pagi tadi.

Suasana sedih dan suram menyelubungi majlis pengebumian bermula jenazah dibawa ke Masjid Al-Akram, Datuk Keramat tengah malam tadi.

Jenazah disolatkan di masjid tersebut kira-kira jam 10 pagi tadi dengan dipimpin Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang sebelum dibawa ke tanah perkuburan, diiringi ribuan yang hadir untuk memberikan penghormatan terakhir.

Rata-rata mereka yang hadir tidak dapat menahan sebak setelah jenazah selamat dikebumikan jam 11.10 pagi.

Sejak tengah malam tadi, orang ramai tidak putus-putus mengunjugi jenazah allahyarhamah yang disifatkan sebagai seorang yang sangat berdedikasi dalam menjalankan amanah sebagai wakil rakyat.

Anggota Unit Amal juga mula menjaga lalu lintas dan kawasan sekitar sejak tengah malam tadi bagi mengelakkan kesesakan di kawasan sekitar.

Anggota keluarga termasuk suami, Dr Aminuddin Abdul Hamid Karim dan anak-anak allahyarahamahberada di samping jenazah sehingga selesai dikebumikan.

Walaupun kelihatan sedih, mereka melayani pertanyaan pemberita dengan baik.

Dr. Aminuddin dengan tenang berkata, beliau redha dengan pemergian Allahyarhamah dan kagum dengan kegigihan isterinya itu menjalankan amanah walaupun terlantar di atas katil ketika sakit.

"Allahyarharmah berpesan kepada petugas-petugas pejabat khidmat masyarakat Parlimen Titiwangsa agar terus menjalankan tugas melibatkan kepntingan penduduk.

"Sehingga ke saat-saat akhir, beliau sering bertanya mengenai kawasan terutamanya isu Kampung baru yang diperjuangkan beliau," katanya.

Selain pimpinan utama PAS, turut hadir memberikan penghormatan terakhir ialah Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden PKR, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail, Naib Presiden PKR, Sivarasa Rasiah dan lain-lain.

Allahyarhamah meninggal dunia di Hopital Selayang jam 10.15 malam tadi setelah beberapa tahun mengidap barah paru-paru. -Harakah


Friday, March 4, 2011

: : TARIQ ZIYAD : :



Tariq bin Ziyad (670M - 720M / 75H - 125H), seorang anak yatim piatu, yang rajin bekerja dan suka menuntut ilmu. Telah dijual sebagai hamba atau budak suruhan dan dibeli oleh Musa bin Nusair. Musa bin Nusair ini adalah seorang pemerintah Islam di Afrika (wakil khalifah Islam di Afrika), Tariq telah diajar bermain senjata dan menunggang kuda. Akhirnya Musa bin Nusair memberi kepercayaan penuh kepada Tariq bin Ziyad untuk menjadi Ketua Panglima bagi mengetuai sebuah angkatan perang seramai 12 ribu orang Islam bagi menawan Andalusia (Sepanyol) serta membebaskan rakyat dari penindasan Raja Roderiga.

Raja Roderiga ini berbangsa Gotik dan memerintah Sepanyol. Dia dan orang-orangnya hidup penuh kemewahan sedangkan rakyat dibiarkan dalam kesengsaraan. Para petani dipaksa membayar cukai yang tinggi. Kaum wanita terutama anak2 gadis yang cantik tidak berasa selamat kerana sering diperkosa oleh Raja Roderiga ataupun konco-konconya. Mereka yang cuba melawan dibunuh hidup2. Akibat penindasan yang tidak berperikemanusiaan itu, rakyat hidup dalam ketakutan. Ramai antara mereka terpaksa melarikan diri ke Afrika, sebuah negara yang aman makmur di bawah pemerintahan Kerajaan Islam.

Disebabkan kekejaman inilah, Musa bin Nusair menghantar tentera-tentera Islam yang diketuai oleh Panglima Tariq Ziyad ke tanah Andalusia. Panglima Tariq Ziyad telah dibantu oleh Panglima Malik, Panglima Amir, Panglima Sufian dan tentera-tentera Islam yang lain. Matlamat mereka hanya satu, Menang ataupun Syahid kerana Allah. Setelah belayar beberapa ketika, mendaratlah tentera Islam di bumi Andalusia di sebuah bukit,yang tidak berpenghuni, lalu diberi nama oleh Tariq Ziyad sebagai "Jabal Tariq", pada masa ini tempat itu dikenali sebagai Gibraltar.

Bermulalah perjuangan Panglima Tariq Ziyad bersama tenteranya. Pada mulanya tujuan mereka untuk meninjau keadaan tempat dan kekuatan musuh sebagai persediaan menunggu ketibaan tentera yang dipimpin sendiri oleh Musa bin Nusair sahaja. Tetapi Musa bin Nusair telah berpesan kepada Tariq Ziyad, "Apabila terserempak dengan musuh, buatlah apa yang panglima fikirkan terbaik. Keselamatan 12 ribu tentera Islam terletak di tangan kamu. Pimpinlah mereka dengan bijaksana". Maka Tariq Ziyad telah membuat keputusan untuk berhadapan dengan tentera Gotik di atas keadaan yang beliau yakini perlu bertindak ketika itu.

Pada 19 Julai 711 M, terjadilah pertempuran antara tentera Islam yang dipimpin oleh Tariq Ziyad dengan tentera Gotik yang dipimpin oleh Raja Roderiga. Walaupun pasukan tentera Islam jauh lebih kecil berbanding musuh ditambah pula dengan kelengkapan senjata yang serba kekurangan namun dengan semangat jihad yang berkobar-kobar mereka berjaya memberi pukulan yang hebat kepada Raja Roderiga. Akhirnya tentera Gotik kalah dan Raja Roderiga mati lemas di dalam sungai Barbar ketika cuba melarikan diri. Kekalahan ini amat memalukan Gotik, lalu mereka mengumpul semula kekuatan bagi mengusir tentera Islam dari tanah air mereka. Kali ini mereka diketuai oleh Panglima Goted.

Kemudian, terjadi lagi satu pertempuran yang paling sengit di Ecija. Dalam pertempuran itu, tentera yang dipimpin oleh Tariq Ziyad bergabung dengan tentera yang dipimpin oleh Musa bin Nusair, dan sekali lagi tentera Islam menang. Tentera Islam juga pernah dibahagikan kepada 4 pasukan besar iaitu menuju ke Kardoba, Malaga, Granada dan Toledo (ibu kota Andalusia) bagi menakluki kawasan2 tersebut.

Akhirnya seluruh bumi Andalusia berjaya ditakluki oleh pemerintahan Islam, dalam masa yang sama penyebaran Islam terus digiatkan di seluruh kawasan Andalusia. Penaklukan Andalusia oleh orang2 Islam mendorong timbulnya revolusi sosial di mana kebebasan beragama benar2 diakui. Rakyat tidak lagi tertindas dan harta mereka dipelihara di bawah pemerintahan Islam.

Tariq bin Ziyad bercadang hendak menakluk seluruh Eropah. Ketika persiapan giat dilakukan, tiba2 Tariq bin Ziyad diperintahkan oleh khalifah kembali ke Damsyik. Sebagai panglima tentera yang berdisiplin, beliau mematuhi arahan itu dan terpaksa membatalkan niat untuk menakluki Eropah. Panglima Tariq bin Ziyad meninggal dunia di Damsyik. Semoga rohnya dicucuri rahmat. Al-Fatihah.

: : TARIQ ZIYAD : :
Antara pengajaran yang boleh kita perolehi dari kisah Tariq bin Ziyad ini ialah:

1) Pergantungan dan pengharapan penuh hanya diletakkan kepada Allah SWT dalam setiap perkara dan setiap masa.

Setiap malam Tariq bin Ziyad menunaikan solat sunat tahajjud, bagi memohon kekuatan, perlindungan dan kemenangan dari Allah SWT. Dirinya sentiasa merasa dekat dengan Allah dan yakin dengan bantuan Allah SWT. Kebergantungannya penuh terhadap Allah SWT.
"Pada siang hari kami lihat panglima bagaikan seekor singa apabila berdepan dengan musuh, tetapi pada malam hari panglima bagaikan abid," puji salah seorang anak buanhnya.

Allah berfirman dalam surah al-Baqarah : 152
"Maka Ingatlah kepadaKu maka Aku akan mengingatimu. Bersyukurlah kepadaKu, dan janganlah kamu ingkar kepadaKu"

"Berperanglah kerana Allah bukan kerana marah, takutlah kepada Allah jangan takut kepada musuh. Apabila masuk waktu solat, kerjakanlah ia, jangan meninggalkannya. Akhir sekali kita perlu yakin ajal maut kita hanya Tuhan yang menentukan."
"Sesiapa yang mati dalam perjuangan ini dimasukkan ke dalam syurga. Kami yakin dengan janji Tuhan kami."
"Saya berpesan kepada diri saya dan saudara semua supaya sentiasa ingatkan Allah semasa senang atau susah, juga semasa duduk dan berdiri. Hanya Dia tempat kita bergantung harapan." - kata-kata Tariq Ziyad kepada tenteranya.

Surah at-Taubah : 24
"Jika bapa-bapa, anak-anak, saudara-saudara, isteri-isteri, kaum keluargamu, harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu khawatiri kerugiannya, dan tempat tinggal yang kamu sukai, adalah lebih kamu cintai dari Allah dan RasulNya dan dari berjihad di jalan nya, Maka tunggulah sampai Allah mendatangkan Keputusan NYA dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik."

2) Perancangan yang teratur amat penting dalam melaksanakan sesuatu terutama sekali dalam merancang gerakerja Islam.

"Sebelum berangkat ke sana, kami perlukan maklumat daripada saudara. Lukiskan peta Andalusia, tandakan pantai, selat, gunung dan bukit serta laluan kapal. Selain itu tandakan jalan2, kawasan perumahan dan bandar. Perkara yang paling penting adalah saudara bagitahu maklumat mengenai tentera Gotik."
"Kita bentuk 4 pasukan dan setiap pasukan seramai 2500 orang tentera yang bergerak serentak menuju ke empat buah bandar itu." -panglima Tariq bin Ziyad.

Kata-kata Saidina Ali :
“Kebenaran tanpa perancangan akan mudah dikalahkan oleh kebatilan yang terancang”

3) Pemimpin Islam atau pendakwah perlu mempunyai kekuatan dalaman (kekuatan ruhani) yang utuh bagi menghadapi segala bentuk cabaran dan ujian.

"Saya mahu memilih yang terbaik antara kamu. Mereka yang bangun sembahyang tahajjud malam tadi diminta berdiri. Merekalah yang saya pilih bagi bersama saya ke kampung Maktum. Tentera yang terbaik, pasti peroleh pertolongan daripada yang maha berkuasa." -panglima Tariq bin Ziyad

Surah Muzzammil : 6
“Sesungguhnya jiwa (org) yang terbentuk di tengah malam itu lebih mantap keperibadiannya dan lebih jitu kata-katanya”

4) Setiap insan yang membawa Islam dan mempunyai matlamat yang tinggi untuk kejayaan Islam, pasti akan diuji dengan pelbagai ujian. Hanya iman yang kuat yang dapat mengatasi segalanya.

"Kita upah perempuan bagi menggoda Tariq bin Ziyad. Kemudian kita suruh perempuan itu beritahu orang ramai dia dirogol. Dengan itu orang ramai pasti membenci tentera Islam" -panglima Goted (pembantu Raja Roderiga)
"Subhanallah, saya datang ke sini bukan bagi memuaskan nafsu, tetapi berjihad dan mencari keredhaan tuhan". -panglima Tariq bin Ziyad

"Kita sambut kedatangan mereka dengan baik, kemudian kita sediakan wanita yang cantik, arak, tuak serta makanan yang haram dimakan oleh mereka. Apabila mereka termakan umpan kita, mereka diambang kebinasaan. Dengan mudah mereka dikalahkan." -paderi Raja Portugal
"Makanan ini tidak halal untuk kita, kita akan dibakar oleh api neraka. Jihad yang paling besar sekali adalah melawan hawa nafsu." -panglima Tariq bin Ziyad

"Terimalah hadiah kami ini. Selain emas dan berlian, ada banyak lagi barang2 berharga. Semuanya kami hadiahkan kepada tuan." -panglima Julian
"Saya dibayar gaji oleh Khalifah Walid bin Malik, saya tidak boleh menerima hadiah2 ini." -Musa bin Nusair

Surah al-Baqarah : 155
"Dan sungguh akan kami berikan cubaan kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar."

5) Sentiasa menunjukkan akhlak yang mulia kepada semua umat manusia termasuk golongan kafir, selagi mereka tidak mengancam Islam itu sendiri. Terutama sekali yang memimpin kepimpinan Islam, sentiasalah bersifat sederhana dalam setiap perkara.

"Panglima hanya tidur beralaskan kain yang nipis. Biarlah kami gantikan dengan hamparan yang tebal ataupun permaidani yang cantik." -panglima Amir (pembantu panglima Tariq Ziyad)

"Masih ada penduduk kampung ini yang sakit tetapi masih tidak diberi rawatan? Penduduk yang kelaparan tetapi masih tidak mendapat makanan? Sekiranya ada penduduk kampung yang diganggu dan disakiti, sila beritahu saya." -panglima Tariq bin Ziyad

Ketika Aisyah Ra ditanya tentang akhlak Rasulullah SAW :
Maka dia menjawab, "Akhlaknya adalah Al-Quran."

6) Ilmu itu sangat penting dalam kita hendak membawa Islam itu sendiri. Sirah-sirah Rasulullah SAW banyak menunjukkan kisah-kisah atau tindakan-tindakan yang terbaik untuk kita ambil dalam menempuh alam yang semakin mencabar ini. Wajar kita sandarkan segalanya pada Al-Quran dan Sunnah Rasulullah SAW.

"Adakah kalian lupa sejarah Perang Muktah pada zaman Rasulullah SAW? Panglima Jakfar bin Abi Talib yang menjadi ketua tentera Islam menggantikan Panglima Zaid bin Harithah yang syahid, membunuh kudanya. Kemudian bertempur dengan musuh sambil berjalan kaki sehingga syahid. Walaupun itu nampak bodoh tetapi Nabi Muhammad tidak mencerca tindakan Panglima Jakfar bin Abi Talib." -panglima Tariq bin Ziyad

"Saya lakukan apa yang pernah dilakukan oleh Saidina Umar. Dia sering berjalan malam bagi mengetahui kehidupan rakyat." -panglima Tariq bin Ziyad

Rasulullah SAW bersabda :
"Jadikanlah dirimu orang alim (berilmu) atau orang yang menuntut ilmu atau orang yang selalu mendengar pengajaran atau orang yang mencintai (tiga golongan yang tersebut) dan janganlah engkau menjadi dari golongan yang kelima, yang dengan sebabnya engkau akan binasa." (Riwayat al-Bazzar)

7) Mati itu pasti, tetapi perjuangan Islam harus diteruskan. Kita adalah mata rantai perjuangan Islam.Perjuangan Islam itu mesti tetap diteruskan walau apa pun yang berlaku.
"Selamat tinggal sahabat-sahabatku. Teruslah berjihad di jalan Allah. Sebarkan Islam ke seluruh dunia." -panglima Tariq bin Ziyad
"Selamat jalan panglima yang berjasa. Semoga Tuhan pertemukan kita semula. Sekiranya tidak di dunia, kita pasti bertemu di akhirat." -Musa bin Nusair

Surah al-Imran : 185
"Tiap-tiap yang berjiwa akan merasakan mati. dan Sesungguhnya pada hari kiamat sajalah disempurnakan pahalamu. barangsiapa dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke dalam syurga, Maka sungguh ia Telah beruntung. kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah kesenangan yang memperdayakan. "

: : TARIQ ZIYAD : :

Ini adalah antara pengajaran yang perolehi dari buku Tariq (Menang ataupun Syahid) ini. Moga sama-sama kita ambil iktibar dan jadikan panduan dalam kita memikul amanah Allah swt ini, serta menjadi bekalan kita bagi menempuh alam kehidupan yang pasti penuh onak dan cabaran. Apa yang dikongsikan di sini hanyalah antara sedikit tulisan-tulisan dalam novel ini, untuk mengetahui secara penuhnya, bacalah buku tersebut. ;)
Wallahualam.


Friday, February 11, 2011

Lagi... Kehilangan seorang ulama' Jordan... Dr Fadhlul Hassan Abbas

Ini adalah terjemahan secara ringkas:

Beliau meninggal dunia pada petang 9/2/2011..Menandakan bahawa umurnya telah genap 79 tahun..Di mana masanya dihabiskan dengan dunia pendidikan,pengajaran, ilmu pengetahuan di masjid-masjid beserta forum-forum ilmiah..

Syeikh Fadlhlul Hassan Abbas (lahir Saffuriyya di Palestin pada tahun 1932 M), salah satu ulama Sunni yang paling menonjol di Jordan, salah satu ilmuwan dalam bidang ilmu tafsir,hadis,ilmu bahasa arab dan balaghah..Beliau dikenali ramai melalui kitab-kitab hasil penulisan beliau,juga memberi kuliah tentang ilmu agama di corong-corong radio,dan juga tv..

Dr Fadl Abbas sebagai salah satu ilmuwan yang paling penting dalam bab tafsir dan tilawah alquran.Ketika pada tahun 70-an beliau ke udara dalam rancangan beliau sendiri di radio-radio Jordan sebanyak 400 episod.Beliau mengajar tentang ilmu Tilawah dan Tafsir..Beliau juga terkenal dengan cara pengajaran yang memudahkan orang ramai belajar..Dari segi penulisan beliau terkenal dengan pandangan yang menarik dan baru dalam ilmu tafsir al-quran..


Latar Belakang ringkas Pengajian:


Belajar di Universiti Azhar,di kuliah Usuludin..Beliau seorang lelaki yang soleh..Tamat menghafaz alquran pada umur 10 tahun.Kemudian menghafal matan-matan dalam fiqh Syafie dan Maliki..Ditambah pula ilmu aqidah,faraidh

Beliau bersekolah Menengah di Mesir selepas lulus,beliau berjaya masuk ke kuliah Usuludin di Universiti Azhar..Tamat pengajian ijazah pada tahun 1952..Beliau merupakan siswa yang paling muda tamat pengajian ketika itu.

Kemudian,beliau mendapat gelaran doktor(phD) di Universti Azhar,Mesir pada tahun 1972 dengan tajuk tesis beliau bertajuk:Arah tuju tafsir di bumi Syam,dan Mesir..

Latar Belakang Kerja:


Menjadi tenaga pengajar di Kuliah Syariah pda tahun 1966 di Jordan..Beliau mengajar dalam bidang Tafsir,Hadis,Tilawah,Tauhid dan juga Bahasa Arab..

Kemudian beliau berpindah dan bekerja di Emirate diantara tahun 1975-1978..Selepas beberapa tahun di sana beliau kembali berkhidmat pada tanah air tercinta di Jordan di Kuliah Syariah Universiti Of Jordan di Amman..Beliau memegang jawatan sebagai dekan kuliah Usuludin pada satu tempoh yang sangat panjang...

............................................................................................................................................................................

Ini adalah terjemah ringkasan dari laman web dalam bahasa arabhttp://www.heilnews.net/article.aspx?articleno=9675

Jika terjemahan terdapat sedikit kekurangan harap maaf dan sangat dikesali..


Kesimpulanya marilah sama-sama kita menghargai Ulamak...Menghormati Ulamak-ulamak...Kerana kata Rasulullah Ulamak adalah pewaris nabi-nabi...Kita dengan Nabi,dan rasul sangatlah jauh..Apatah lagi Ulamak?Jika dalam hidup kita tidak pernah berjumpa dengan Ulamak alangkah ruginya kita....

Apabila ditanya oleh Allah kelak,pernah kah kita menghargai nabi?Pernahkah kita menghargai Ulamak?Dan dijwab tidak!!Dengan rahmat Allah,ditanya lagi pernahkah kita mengikuti pengajian dengan orang alim??Dan masih lagi tidak!!!!..Soalan lago,pernahkah kita berjumpa dengan Ulamak?Masih lagi tidak..Dan soalan last..Pernahkah kita menghargai dan mengingati Ulamak?Jika masih lagi jawapan tidak..Alangkah ruginya anda!!!!!


*Dr Fadhul Hassan Abbas merupakan salah satu Ulamak moden yang terkenal di Bumi Syam, Jordan, Syria, Lubnan, dan Palestin...Beliau banyak menulis kitab-kitab yang mushtalah yang senang dibaca..Terkenal dengan pembaharuan ilmu tafsir...Dan yang paling menarik mata beliau buta!!!


Wallahualam~


Credit to: awe-donde


Hari ini dalam sejarah... 12 Februari...

Tarikh 14 Februari sering menjadi bualan dan dinanti-nantikan oleh pasangan remaja yang bercinta. Hari tersebut seoalah-olahnya menjadi hari bersejarah dan terbaik bagi mengungkapkan rasa kasih sayang antara pasangan kekasih. Hari bermadu kasih untuk membuktikan kasih sayang berlandaskan nafsu mereka. Masyarakat kita pada hari ini seolah-olah sebati dengan sambutan hari maksiat ini.


Sesetengah media yang sememangnya kerja mereka adalah untuk merosakkan masyarakat Islam khususnya muda mudi menjadikan seolah-olah Valentine ini adalah kewajipan yang perlu disambut setiap tahun. Mana tidaknya, pelbagai program hiburan yang melalaikan merancakkan lagi sambutan Valentine ini. Mereka lupa dengan sejarah Valentine ini yang pastinya bertentangan dengan gaya hidup Muslim. Entri akan datang akan menceritakan asal usul Valentine.

12 FEBRUARI..APA KAITAN?

Kita terlupa bahkan ada yang tidak tahu pun apa yang berlaku pada tarikh ini, lantaran tarikh 14 Februari itu terlalu diperbesarkan, sehingga tenggelam kisah duka yang berlaku dua hari sebelum tarikh tesebut. Tanggal 12 Februari 1949 telah meninggalkan sejarah hitam bagi gerakan Islam seluruhnya. Dunia kehilangan seorang ulama' ulung yang mempelopori gerakan mengembalikan Islam ke puncak kegemilangannya.

As Syahid Hassan Al-Banna belum sempat melihat Islam didaulatkan kembali setelah kejatuhan Khilafah Uthmaniyyah, tetapi beliau telah menang dalam pertarungan mendapatkan syahid. Pemergian beliau bukan secara kebetulan, tetapi ia merupakan pembunuhan kejam yang terhasil daripada perancangan musuh-musuh Islam yang berselindung di belakang Raja Faroq.

Senyum mujahid menuju syahid

Dua bulan sebelum kejadian, gerakan Islam yang diasaskan oleh As Syahid Hasan Al-Banna telah diharamkan oleh kerajaan Mesir. Kesemua cawangannya di sana yang berjumlah lebih daripada 3,000 diarahkan supaya dibubarkan dan sekiranya masih beroperasi akan dikira sebagai pertubuhan haram, pelampau dan pengganas.

Bukanlah suatu yang baru bagi pemimpin Mesir menjadi 'pak turut' kepada negara-negara Barat. Dalam mengharamkan gerakan Islam ini, kerajaan Mesir secara jelas mengikut telunjuk Amerika Syarikat, Perancis dan Britain.

As Syahid Syed Qutub yang berada di Amerika ketika pembunuhan Hasan Al-Banna menceritakan bagaimana rakyat Amerika Syarikat berpesta apabila menerima berita kematian Hassan Al Banna.


Who killed Al-Banna?
(sambungan di Youtube)


TRAGEDI TERANCANG

Ketika kejadian, Hassan Al-Banna berjalan bersendirian di Jalan Ramsis, Kaherah berhampiran dengan pejabat Jam'iyatus Syubbanil Muslimin (Persatuan Pemuda Islam). Bukti perancangan mereka terbukti apabila jalan yang biasanya sibuk itu menjadi lengang. Lampu-lampu jalan dipadamkan , semua kedai dan restoran ditutup dan tidak ada kenderaan yang dibenarkan melalui jalan berkenaan kecuali sebuah teksi yang beberapa kali berulang-alik mencari 'sesuatu.'

Oleh kerana tiada kenderaan lain, Imam Al-Banna menahan teksi berkenaan untuk pulang ke rumahnya. Dengan tidak disangka-sangka, sebaik sahaja teksi berkenaan berhenti di hadapan beliau, tubuh beliau terus dirobek oleh peluru-peluru yang dimuntahkan oleh senjata pemandu teksi berkenaan.

Bagi menyempurnakan lakonan sendiwara seterusnya, Imam Al-Banna di bawa ke Hospital Al Qasrul Aini. Di hospital berkenaan, dengan arahan daripada Raja Faroq, Imam Al-Bana di tinggalkan bersendirian tanpa diberi rawatan kecemasan hinggalah beliua menghembuskan nafasnya yang terakhir. Tarikh 12 Februari, lebih 53 tahun yang lalu menjadi saksi pembunuhan kejam dan terancang pihak berkenaan ke atas Imamul Jihad, Assyahid Hasan Al-Banna.

Bukti Perancangan semakin terserlah apabila pada 4/7/49 kerajaan Raja Faroq mengisytiharkan anugerah khas kepada konspirator utama yang merancang pembunuhan berkenaan, iaitu ketua di Jabatan Siasatan Jenayah Kementerian Dalam Negeri, Amir Mahmud Bek Abdul Majid dan pemandu serta pemilik teksi berkenaan. Mereka dianugerahkan elaun khas di atas 'jasa dan kesungguhan berkhidmat memastikan keamanan negara.'

TEKANAN

Bergembiralah musuh-musuh Islam dengan kejayaan mereka membunuh pengasas gerakan Islam pertama di dunia selepas kejatuhan Khilafah Uthmaniyyah. Dengan kejayaan mereka membunuh Imam Al-Banna, maka bertambahlah tekanan demi tekanan ke atas pengikut-pengikut serta anak-anak murid Imam Al-Banna. Mereka mencari anggota Ikhwanul Muslimun dari rumah ke rumah serta memenjarakan mereka.

Rumah Assyahid Imam Al-Banna tidak terkeculi daripada pemeriksaan. Bahkan mereka mengadakan kawalan khas di sekeliling rumah berkenaan selama dua tahun. Sesiapapun tidak dibenarkan menghubungi keluarga Imam Al-Banna. Sesiapa yang cuba menghubungi keluarga berkenaan akan ditangkap dan dipenjarakan.

Talian telefon di rumah berkenan dipotong. Tidak cukup dengan itu, mereka akhirnya mengeluarkan arahan supaya rumah berkenaan dirobohkan dengan alasan ianya sudah usang dan dibimbangi akan membahayakan orang ramai, sedangkan rumah berkenan masih dalam keadaan elok.

Kebimbangan mereka ke atas dakwah Ikhwan ternyata sekali apabila jenazah Assyahid tidak dibenarkan diiringi oleh sesipapun di kalangan lelaki. Jenazah beliau diiringi oleh para malaikat dan kaum ibu ke kubur. Lelaki yang mengiringi beliau hanyalah bapanya, Imam Abdul Rahman Al Banna dan Syeikh Makram Abid.

Tekanan ke atas anggota-anggota Ikhwan berterusan walaupun Raja Faroq sudah tidak berkuasa lagi di bumi Mesir. Tahun-tahun 1954, 1965 dan 1981 telah merakamkan seribu satu macam kengerian di atas penyiksaan yang dikenakan ke atas anggota Ikhwan. Ramai ulama' dibunuh di tali gantung. Tidak kurang juga yang disiksa dengan pelbagai jenis penyiksaan di dalam penjara yang tidak diketahui di mana letaknya.

GAGAL

Musuh-musuh Islam menyangka mereka berjaya menyekat dakwah Islamiyyah dengan membunuh Imam Al-Banna dan menekan pengikut-pengikutnya. Sebaliknya kehendak Allah mengatasi segala-galanya.

Dakwah Islmiyyah ini semakin tersebar ke seluruh pelusuk dunia. Di sebahagian besar negara Arab kemudiannya ditubuhkan cawangan Ikhwanul Muslimin. Di Turkey ditubuhkan Refah Partisi. Di India, Pakistan dan Bangladesh ditubuhkan Jamaat E-Islami. Di Malaysia ditubuhkan Hizbul Muslimin yang kemudiannya diharamkan oleh Inggeris dan digantikan dengan Parti Islam Se-Tanah Melayu (PAS). Di Indonesia, umat Islam menubuhkan Mayumi. Di Palestin di tubuhkan Hamas dan begitulah seterusnya. Parti dan gerakan Islam satu demi satu bercambah hasil daripada 'biasan sinar dakwah' Imam Al-Banna rahimahullah.

MENGAPA DIBUNUH?

Ramai berpendapat, Imam Al Banna tidak akan dibunuh jika beliau tidak menyertai jihad menentang Israel. Maka 'jihad'lah yang menjadi punca kemarahan musuh-musuh Islam. Sebelum itu mereka tidak begitu gentar terhadap dakwah Imam Al-Banna.

Dakwah yang dilakukan oleh beliau di Mesir adalah dakwah yang penuh dengan hikmah; mengajak manusia kembali kepada Allah, melaksanakan perintah Allah dan meninggalkan larangannya. Hasan Al-Banna tidak pernah mengkafirkan sesiapa sesuka hati. Tidak pernah mengarahkan sesiapa melakukan pembunuhan ke atas pemimpin-pemimpin tertentu dan tidak pernah merancang untuk menggulingkan kerajaan secara kekerasan.

Dakwah sebegini lazimnya tidak mengundang sebarang tindakan negatif pihak musuh. Tetapi sebaik sahaja melihat kejayaan beliau mengajak umat Islam Mesir menyertai peperangan terhadap penjajah Israel di bumi Palestin, maka musuh-musuh Islam merasa gerun.

Mereka bimbang, orang yang mampu mempengaruhi orang ramai ini akan menumbangkan kuasa mereka suatu hari kelak. Peritiwa ini seakan-akan sama dengan peristiwa Singapura diserang todak. Budak yang berjaya menyelamatkan Singapura daripada diserang todak itu akhirnya dibunuh kerana dibimbangi kepintarannya itu akan menyebabkan kuasa raja tumbang suatu hari kelak.

JASA 1948

Betapa besarnya jasa Imam Al_Banna dalam menggerakkan umat Islam berjihad menentang Yahudi. Dalam keadaan umat Islam terlena dibuai mimpi-mimpi indah, beliau menyedarkan mereka supaya bangkit dan menghalau penjajah di Baitul Maqdis.

Mereka bangkit dan berada di barisan hadapan daripada pasukan tentera Mesir ketika itu. Dengan semangat jihad yang kental yang ditanam oleh Imam Al-Banna mereka melangkah gagah dan hampir setiap pertempuran menyaksikan kemenangan berpihak kepada mereka.

Ketika mereka sudah berada dipinggir Tel Aviv, kerajaan Mesir memanggil pulang. Dan apabila pulang, mereka dapati pemimpin mereka, Imam Al-Banna telah dibunuh dengan kejam.

Bahkan mereka yang pulang itu pula ditangkap dan dipenjarakan. Kepulangan mereka bukan disambut dengan bunga manggar mahupun anugerah pahlawan. Bahkan mereka disambut dengan penjara dan tali gantung.

Bermula tanggal berkenaan, Yahudi kembali berkuasa ke atas seluruh Palestin sehinggalah ke hari ini. Mereka kembali melakukan kekejaman ke atas umat Islam tanpa mengira lelaki mahupun wanita, dewasa mahupun kanak-kanak, muda mahupun tua.

Dr Ahmad Al-Malat, Pengerusi Persatuan Perubatan Islam Kaherah yang merupakan salah seorang anak murid Imam Al-Banna berkata, “Kalaulah tidak kerana pengkhianatan yang dilakukan ke atas Imam al Banna nescaya tinta sejarah (Paletin) telah berubah (insya Allah).”

Dr Al-Malat adalah salah seorang doktor bedah yang ditugaskan oleh Imam Al-Banna untuk menyertai peperangan menentang Yahudi di Paletin. Beliau memberikan khidmat kepakarannya kepada mujahidin yang tercedera.

Bersempena ulang tahun pemergian Imam Al Banna, Dr Al-Malat yang sudah lanjut usianya berpesan kepada pemuda-pemuda gerakan Islam yang sedang ditekan di seluruh dunia:

“Kita mahu pemuda-pemuda yang berkata kepada dunia, 'Cukuplah....'. Kita mahu pemuda-pemuda yang sentiasa bersedia untuk berhadapan dengan musuh... Sesungguhnya pertembungn di antara hak dan batil berterusan tanpa henti. Dan kita adalah tentera di pihak yang hak. Untuk itu kita perlu menggantikan panglima ini (Imam Al-Banna) yang telah menjual dunia dan membeli keredhaan Allah...”

MENCARI AL-BANNA KEDUA

Kini, ketika dunia sedang menyaksikan penindasan berterusan ke atas umat dan gerakan Islam, kita mengharapkan Allah melahirkan seorang lagi pemimpin Islam seperti Hassan Al-Banna.

Tidak adakah seorang dikalangan umat Islam kini yang mampu mengembalikan maruah Islam setelah dirobek-robekkan oleh Amerika, Britain, Israel, Perancis dan sekutu mereka di Palestin, Afghanistan, Iraq, Mindanao, Checnya, Kashmir dan lain-lain.

Sudah tibakah masa yang dijanjikan Allah, apabila umat terdahulu diuji dan dicuba lantas berkatalah Rasul SAW dan orang-orang yang beriman bersamanya:

"Bilakah akan datangnya pertolongan Allah?"

Allah SWT menjawab:

"Ketahuilah, pertolongan Allah semakin hampir"

Dan pada 1948, mana mungkin Imamul Jihad ini berdiam diri melihat Yahudi meratah-ratah daging saudaranya di bumi Isra'. Sebab itulah beliau menyandang senjata dan mengerahkan umat Islam supaya berjihad, menyahut seruan Allah di dalam Al Quran.


Credit to: Jottumah


Thursday, November 11, 2010

BINGKISAN DARI YAMAN

(Harakah-Fikrah, Edisi Jumaat, 31 Julai 2009, m/s F14-F15)

Pesanan Dr. Abdul Karim Zaidan kepada pejuang Islam

Oleh: Imran al-Malizi


Beberapa bulan yang lalu, saya diberitahu bahawa beliau sedang sakit tenat dan enggan menerima tetamu. Beliau memerlukan rehat yang secukupnya lantaran faktor kesihatannya yang tidak mengizinkan.

Pada hari Selasa, 21 Julai 2009, kami diberi kesempatan untuk menziarahi guru kami, Dr. Abdul Karim Zaidan, seorang ulama yang berasal dari Iraq dan sangat dikenali di peringkat antarabangsa. Keluasan ilmunya membuatkan pandangan-pandangan beliau sentiasa diperlukan bagi menjawab persoalan-persoalan semasa yang berkaitan dengan Islam.

Kitab-kitab karangannya telah digunakan sebagai teks usrah semenjak sekian lama. Malah beberapa kitab karangannya juga digunakan sebagai sukatan pelajaran di kebanyakan universiti. Di antara karyanya yang masyhur ialah Usul al-Da’wah, al-Wajiz fi Usul al-Fiqh, al-Wajiz fi al-Qawa’id al-Fiqhiyyah, Nizhom al-Qadha’, al-Mufasshal dan banyak lagi.

Dr. Abdul Karim Zaidan sangat cintakan ilmu dan bersungguh-sungguh dalam menunaikan amanah dengan menyampaikan ilmu pengetahuan dan mendidik generasi umat ini. Beliau pernah berkata, “Aku sangat mengharapkan agar aku mati dalam keadaan sedang mengajar..”

Selepas solat Maghrib di Masjid Abu Bakar as-Siddiq di Hadda, kami berjalan kaki lebih kurang 5 minit ke kediaman Dr. Abdul Karim Zaidan. Kami disambut oleh anak lelakinya yang bernama Mohammed. Tidak lama menunggu di ruang tamu, Dr. Abdul Karim Zaidan muncul dengan dipapah oleh Mohammed.

Begitulah keadaannya ketika mengajar di dewan-dewan kuliah, walaupun dalam keadaan susah dan hampir tidak mampu untuk berjalan lagi, beliau tetap hadir demi menyampaikan ilmu. Usianya yang sudah mencecah 92 tahun tidak menghalangnya daripada terus menyumbangkan jasa kepada Islam.

Kami sangat bertuah kerana pertemuan pada malam itu dibuat sebelum beliau bertolak ke luar negara untuk mendapatkan rawatan kesihatan dan menziarahi kaum kerabatnya di sana. Kemungkinan beliau akan pulang semula ke Yaman selepas beberapa minggu.

Dalam pertemuan ini, Dr. Abdul Karim Zaidan telah sudi untuk menjawab beberapa persoalan yang kami kemukakan khusus mengenai perkembangan politik Islam di Malaysia.

Berbicara tentang tahaluf siyasi iaitu perjanjian atau persepakatan politik, PAS telah pun bekerjasama dengan parti-parti pembangkang yang lain dan berjaya menguasai beberapa buah negeri dalam pilihanraya ke-12 yang lalu. Kerjasama ini kemudiannya disebut sebagai Pakatan Rakyat. Mungkin ramai lagi yang masih keliru tentang istilah tahaluf siyasi ini dan kurang pasti apakah matlamatnya dan di manakah batas-batas dan garis sempadannya?

Bagi menjelaskan perkara ini, Dr. Abdul Karim Zaidan berkata, “Ianya (tahaluf siyasi) tidak dilakukan secara mutlak, hanya digunakan bagi mencapai matlamat tertentu. Matlamat ini mestilah perkara yang dibenarkan oleh syarak. Sebagai contoh, Nabi s.a.w membuat perjanjian dengan kaum Yahudi di Madinah dengan matlamat tertentu, contohnya mereka tidak boleh memerangi kaum Muslimin dan sebagainya. Begitulah juga bagi PAS dan parti yang bukan Islam.. (kerjasama ini) hanya bagi mencapai suatu matlamat tertentu.”

Tambah beliau lagi, “Sebagai contohnya, jika golongan sekular mahu menetapkan satu sistem pendidikan yang tidak menepati Islam, maka kamu jangan menerima dan bersetuju dalam perkara ini. Maksudnya, tahaluf siyasi ini dibenarkan dalam perkara yang tidak bercanggah dengan Islam.”

“Jika PAS bekerjasama dengan parti-parti pembangkang bagi mencapai matlamat yang menepati Islam dan syarak, ianya dibolehkan,” ujarnya.

Dengan syarat-syarat ini, maka kerjasama PAS dengan pihak-pihak lain hanyalah dibenarkan dalam mencapai matlamat tertentu yang menepati kehendak Islam, demi menegakkan keadilan yang menyeluruh, menolak kezaliman dan sebagainya. Selagi mana mereka bersetuju dengan prinsip-prinsip Islam yang diperjuangkan oleh PAS, maka kerjasama ini hendaklah diteruskan dalam perkara-perkara yang dipersetujui bersama.

Berkenaan dengan kewajipan bersama dengan perjuangan Islam, kata Dr. Abdul Karim Zaidan, “Parti Islam mesti dianggotai oleh semua orang-orang Islam. Mereka mesti meminta pandangan para ulama dalam semua perkara yang hendak dilakukan.”

Menyentuh tentang kepimpinan dalam satu jemaah yang memperjuangkan Islam pula, beliau menjelaskan, “Yang layak menjadi pemimpin ialah seorang alim dan faqih (ulama) pada waktu itu, jika tiada maka boleh dipertimbangkan orang yang memiliki ilmu yang mencukupi dan dia dapat memberi manfaat kepada masyarakat dan memiliki keperibadian yang baik. Dia mesti mendapatkan pandangan para ulama untuk membuat apa-apa keputusan.”

Menjawab persoalan adakah pandangan pemimpin jemaah wajib diikuti dan adakah boleh berlaku perbezaan pandangan dalam satu jemaah Islam, Dr. Abdul Karim Zaidan lebih suka mengatakan bahawa syura adalah satu kemestian bagi pimpinan jemaah Islam.

Katanya, “Asal hukum dalam Islam, bagi jemaah yang dipimpin oleh seorang ketua, dia mesti bermesyuarat dengan mereka (Majlis Syura). Apabila sudah menjadi ketetapan yang disepakati bersama, maka keputusan itu dilaksanakan. Orang-orang lain yang berada di dalam jemaah tidak boleh bertelingkah dan hendaklah berpegang dengan keputusan itu.”

Akhir sekali Dr. Abdul Karim Zaidan memberi pesanan kepada para pemuda-pemudi Islam. Katanya, “Nasihat saya kepada golongan pemuda dan pemudi Islam, supaya bertakwa kepada Allah. Kerana Allah memerintahkan Nabi s.a.w supaya bertakwa kepadaNya. Syarat-syarat bertakwa kepada Allah ialah melaksanakan perintah-perintahNy a dan berhenti daripada melakukan segala laranganNya.”

Katanya lagi, “Kamu mesti mempelajari ilmu agama dengan ikhlas kepada Allah Ta’ala dan bertujuan untuk beribadat kepadaNya. Untuk mendapatkan keredhaan Allah Ta’ala. Firman Allah, “Padahal mereka tidak disuruh kecuali supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ketaatan kepada-Nya dalam (menjalankan) agama yang lurus dan supaya mereka mendirikan solat dan menunaikan zakat; dan yang demikian Itulah agama yang lurus.” (Surah al-Bayyinah: 5).

Sesungguhnya bagi Dr. Abdul Karim Zaidan sendiri, beliau sangat arif dan telah menempuh banyak pengalaman pahit dan manis dalam memperjuangkan Islam.

Maka itu bagi para pejuang Islam, beliau sangat menekan kedua-dua pesanan ini dalam mengharungi perjuangan. Iaitu hendaklah bertakwa kepada Allah S.W.T dan mengikhlaskan diri dalam segala amalan kita.

Allah S.W.T akan memberikan pertolongan kepada orang-orang yang bertakwa dan hanya menerima amalan-amalan yang dilakukan dengan ikhlas. Dengan ini, kita akan dapat menghadapi segala cabaran dan halangan dengan penuh kesabaran.

Beliau juga mendoakan kesejahteraan orang-orang yang memperjuangkan agama Allah, “Kita memohon agar Allah mempertahankan orang-orang yang beriman, semoga Allah mempertahankan dan memelihara kamu, semoga Allah membalas kembali perbuatan orang-orang yang melakukan kejahatan. Allah Maha Berkuasa mengatasi mereka. Semoga Allah menerima daripada kamu sebaik-baik amalan. Sesungguhnya Dialah Tuhan yang Maha Pengampun ” Amin.


.::: Bicara Rasa Bicara Hati :::.

Seni cindai pusaka purba,
Disandang mari di hujung bahu,
Jangan serang membabi buta,
Jerat maut sedia menunggu.

Seni cindai pusaka purba,
Disandang oleh panglima Melayu,
Kalau engkau sudah sedia,
Aku telah sedia menunggu.

Ahlul Bayt Fuqaihah

PENGUNJUNG

Twitter Delicious Facebook Digg Favorites More