I made this widget at MyFlashFetish.com.

Pages


I made this widget at MyFlashFetish.com.

STAY TUNE....

STAY TUNE....
ISLAM

Tuesday, December 1, 2009

Bantuan Kewangan Perubatan Untuk Nabilah Huda Bt Zaim



Saudara seiman dan seakidah sekalian,

Seorang pelajar Malaysia yang sedang menuntut dalam Jurusan Syariah di University of Yarmouk, Irbid (terletak kira-kira 150 km ke utara dari Amman, Jordan),

Saudari Nabilah Huda binti Zaim

telah disahkan menghidap Leukemia tahap kronik dan memerlukan pembedahan pemindahan tulang sum-sum pada bulan Disember ini.

Kos pembedahan ialah sebanyak RM70 000 (RM50 000 untuk pembedahan dan RM20 000 untuk rawatan susulan)

dan ia tidak ditanggung oleh penaja beliau, Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS).

Sehubungan dengan itu, saya berbesar hati untuk sama2 membantu dan mengajak rakan2 semua untuk sama2 menyumbang bagi menampung pembedahan beliau.

Tidak kira banyak atau sedikit, usaha kecil kita ini insyaAllah membantu.

Untuk sebarang pertanyaan, boleh berhubung terus dengan

Saudara Zaim Bin Shaari (bapa Nabilah) di talian +6013-3521226.

Sumbangan daripada para dermawan bolehlah dibankkan terus ke akaun-

(Maybank Zaim bin Shaari 162517025794)

Hp: +6013-3521226

Mari kita doakan agar saudari Nabilah Huda dan keluarganya dikurniakan kesabaran dan ketabahan yang berpanjangan sepanjang melalui ujian daripada Allah SWT ini…Sesungguhnya penyakit itu daripada Allah, maka Allah jua yang akan meyembuhkan dan mempermudahkan….

~~Kepada semua kawan2 blogger yang membaca artikel ini, sama2lah kita membantu saudari Nabilah Huda Bt Zaim dengan mengcopy-paste posting ini ke laman anda…mudah2an kerja kita ini ada nilainya disisi Allah swt…Terima Kasih… ~~Allahumma yassir wala tu’assir….Amin..

LINK SUMBER : http://www.uwaisqarny.blogspot.com/
http://www.shakirshafiee.com/


Sunday, November 29, 2009

[MotiVasi haTi] : MaNa sAtu Hati KiTa?





Imam Ghazali menyatakan hati manusia itu terbahagi kepada 3 jenis; hati yang bersih suci, hati yang kotor busuk dan hati yang ada kedua-duanya.

Hati yang bersih suci
iaitu hati yang diisi dengan takwa dan bersih dari akhlak yang keji dan hasilnya orang yang mempunyai hati seperti ini akan sentiasa mendapat lintasan atau saranan untuk berbuat yang baik dan betul daripada alam ghaib dan terbuka daya akalnya untuk memutuskan sentiasa memilih jalan kebaikan. Hati seperti ini akan sentiasa bercahaya dan malaikat sentiasa mengintai-intai untuk menurunkan kebaikan demi kebaikan. Hati ini juga tidak mungkin mudah dipengaruhi oleh pujuk dan rayuan syaitan untuk berbuat kejahatan dan kemungkaran. Hati inilah yang dinamakan hati yang mutmainnah. Hati yang sejahtera dan akan kembali beremu Tuhannya dengan penuh kesejahteraan.

Hati yang kotor busuk
iaitu hati yang dipenuhi dengan hawa nafsu dan bergelumang dengan sifat yang keji seperti dengki,iri hati, tamak,dendam,syirik dan sebagainya. Hati seperti ini sentiasa dilintasi oleh saranan daripada syaitan yang mengajak berbuat maksiat dan kemungkaran. Lebih teruk lagi ia tidak dapat lagi membezakan antara kebaikan dan kejahatan. Semuanya adalah apa yang diputuskan oleh nafsunya. Hanya nafsu memutuskan apa yang baik dan apa yang jahat. al-Qur'an dan al-Hadith bukan lagi panduan untuknya.



Hati yang ada keduanya.
Hati seperti ini sentiasa berhadapan dengan lintasan kebaikan dan kejahatan. Hati ini sentiasa menjadi rebutan antara malaikat dan syaitan. Hati seperti ini juga tidak dapat mencapai ketenangan yang sebenar, sebaliknya sentiasa berhadapan dengan ketidaktentuan yang semakin membingungkan dirinya. Kadang-kadang ia mengajak kepada kebaikan dan kadang-kadang ia mengajak kepada kejahatan. Kebaikan dan kejahatan bersilih ganti dalam dirinya. Hati ini susah untuk bertemu dengan jalan hakikat yang membawa kepada Tuhannya.



Kesimpulan
Adakah kita mempunyai pilihan untuk memiliki hati yang kita ingini sedangkan pilihan yang terbaik hanyalah yang satu.....dan pilihan kita itulah yang menentukan dimana kita dihadapan Allah swt di akhirat kelak. dan hatilah yang menentukan amalan kita diterima atau ditolak oleh Allah. Sedang amalan itulah yang menentukan Syurga atau Neraka.



AYUH!!! MARILAH KITA BERSAMA-SAMA MEMPERBAIKI HATI-HATI KITA AGAR LEBIH BERSIH DAN SUCI... MUDAH-MUDAHAN HATI KITA 'DIINTAI' OLEH PARA MALAIKAT UNTUK MENURUNKAN KEBAIKAN DEMI KEBAIKAN... AMIIN...


Tuesday, November 24, 2009

ADAKAH KITA SEDAR DENGAN KEDATANGAN ZULHIJJAH???

ADAKAH KITA SEDAR DENGAN KEDATANGAN ZULHIJJAH??

Semoga bermanfaat..
Perkongsian dari hasil nukilan Saudari Putri Mira Mohd Jasmi Tan
Foundation in Management

AIDILADHA


Dapatkan Mesej Bergambar di Sini


NABI Ismail a.s membaringkan diri di bawah kilauan tajam mata pisau yang tergenggam erat di tangan ayahnya yang berusia lebih 85 tahun. Sebuah kepasrahan yang agung dan pengorbanan suci atas nama kepatuhan terhadap yang Maha Esa.

Sang ayah, Nabi Ibrahim a.s dengan penuh kerelaan akan menyembelih anak tunggalnya yang telah pun memejam mata. Bersedia. PerintahNya sebuah kepatuhan yang mesti dipenuhi.

Namun, bukan bererti Ibrahim tidak menyayangi Ismail. Putera tersebut adalah segala-galanya ketika usia telah terlalu tua untuk memperoleh zuriat.

Bagaimanapun, ketabahan dan pengorbanan tulus dan ikhlas Ibrahim itu cuma merupakan sebuah ujian. Tempat Ismail diganti oleh Allah dengan seekor kambing biri-biri.

Peristiwa tersebut merupakan titik tolak kepada ibadah korban dalam Islam yang terus difahami sebagai proses menyelami makna kepatuhan suci Ibrahim terhadap perintahNya.

SEJARAH AWAL KORBAN
Antara sejarah awal pergorbanan yang mendapat kutukan dan ganjaran disisi Allah ialah sejarah habil dan qabil.

Demi penentuan jodoh mereka, bahawa masing- masing dari Qabil dan Habil harus menyerahkan korban kepada Tuhan dengan catatan bahawa barang siapa di antara kedua saudara itu diterima korbannya ialah yang berhad menentukan pilihan jodohnya.

Qabil dan Habil menerima baik jalan penyelesaian yang ditawarkan oleh ayahnya. Habil keluar dan kembali membawa peliharaannya sedangkan Qabil datang dengan sekarung gandum yang dipilih dari hasil cucuk tanamnya yang rosak dan busuk kemudian diletakkan kedua korban itu , kambing Habil dan gandum Qabil di atas sebuah bukit lalu pergilah keduanya menyaksikan dari jauh apa yang akan terjadi atas dua jenis korban itu.

Kemudian dengan disaksikan oleh seluruh anggota keluarga Adam yang menanti dengan hati berdebar apa yang akan terjadi di atas bukit di mana kedua korban itu diletakkan, terlihat api besar yang turun dari langit menyambar kambing binatang korban Habil yang seketika itu musnah ternakan oleh api sedang karung gandum kepunyaan Qabil tidak tersentuh sedikit pun oleh api dan tetap tinggal utuh.

Maka dengan demikian keluarlah Habil sebagai pemenang dalam pertaruhan itu kerana korban kambing telah diterima oleh Allah sehingga dialah yang mendapat keutamaan untuk memilih siapakah di antara kedua gadis saudaranya itu yang akan dipersandingkan menjadi isterinya.

10 HARI AWAL ZULHIJJAH
Ramai daripada kalangan kita yang telah maklum akan kelebihan 10 malam-malam terakhir Ramadhan. Tetapi adakah ramai di kalangan umat kita yang maklum kelebihan 10 hari-hari pertama dalam bulan Zulhijjah?

Imam al-Bukhari Rahimahullah meriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas r.a bahawa Nabi s.a.w bersabda: "Tiada suatu hari pun di mana amalan kebaikan padanya mempunyai kelebihan melainkan pada hari-hari ini - iaitu 10 hari Zulhijjah.." Para sahabat baginda bertanya: "Tidak juga Jihad pada jalan Allah (mengatasi kelebihan hari-hari tersebut)?" Ujar Baginda: "Tidak juga Jihad di jalan Allah kecuali seorang yang keluar dengan jiwa raga dan hartanya dan tidak membawa pulang apa-apa pun (kerana habis disumbangkan untuk memenangkan agama Allah)."

Imam Ahmad r.a. dari Ibnu Umar r.a. bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: “Tiada suatu hari pun di mana amalan kebaikan padanya mempunyai kelebihan melainkan pada hari-hari 10 Zulhijjah ini, oleh kerana itu perbanyakkanlah padanya tahlil (La Ilaha Illa Allah), takbir (Allah Akbar) dan tahmid (Alhamdu Lillah)."

Ibnu Hibban di dalam kitab Sahihnya meriwayatkan dari Jabir r.a. bahawa baginda s.a.w bersabda: “Seutama-utama hari adalah hari Arafah”.

Amalan yang dianjurkan padanya

1. Menunaikan ibadah haji dan umrah yang merupakan sebaik-baik amalan. Banyak hadis menyatakan kelebihan ibadah ini di antaranya sabda Nabi s.a.w.: “Satu umrah ke umrah yang lain menghapuskan (dosa) yang dilakukan di antara keduanya dan haji yang baik (diterima) tiada baginya balasan melainkan syurga”.

2. Berpuasa pada hari-hari tersebut atau sekadar kemampuannya - terutamanya pada hari Arafah. Tidak dinafikan bahawa puasa.

Imam Muslim meriwayatkan dari Abi Qatadah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w bersabda, "Puasa pada hari Arafah, saya mengharap Allah akan menghapuskan (dosa) setahun yang lalu dan setahun yang mendatang."

3. Takbir (Allahu Akbar) dan berzikir padanya. Firman Allah s.w.t yang bermaksud, "Dan supaya mereka menyebut nama Allah pada beberapa hari yang termaklum." Hari-hari tersebut dijelaskan sebagai 10 hari di bulan Zulhijjah. Sebab itulah para ulama menyarankan supaya diperbanyakkan berzikir pada hari-hari tersebut sebagaimana mafhum hadis Ibnu Umar r.a. yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad, di antaranya, “Oleh kerana itu perbanyakkanlah padanya tahlil (La Ilaha Illa Allah), takbir (Allah Akbar) dan tahmid (Alhamdulillah)”.

4. Bertaubat dan meninggalkan segala maksiat dan dosa, semoga dengan amalan baik dapat mencapai keampunan dan rahmat Allah.

5. Memperbanyakkan amalan soleh terutama amalan sunat tambahan kerana semuanya akan digandakan pada hari-hari tersebut.

Amalan yang dikerjakan ketika itu walaupun kecil tetapi ia lebih disukai oleh Allah dibandingkan pada hari-hari lain. Begitu juga amalan yang besar seperti berjihad di jalan Allah yang dikategorikan di antara amalan yang terbaik, tidaklah mendapat kehebatan pahala pada hari-hari itu melainkan apabila kuda (kenderaan) yang ditungganginya terbunuh (binasa) dan darahnya keluar (dia cedera atau mati syahid).

6. Disyariatkan bertakbir pada beberapa hari yang mulia itu pada waktu siang atau malam terutama selepas menunaikan fardu solat lima waktu yang dikerjakan secara berjemaah.

Bagi mereka yang tidak menunaikan ibadah haji, takbir bermula dari waktu subuh hari Arafah (9 Zulhijjah) dan bagi yang menunaikannya takbir bermula pada waktu Zuhur hari raya haji (10 Zulhijjah), semuanya berakhir sehingga waktu Asar pada hari ke-13 Zulhijjah.

7. Disyariatkan amalan korban (menyembelih haiwan ternakan) pada hari raya haji dan hari-hari Tasyriq (11, 12 dan 13 Zulhijjah). Ia merupakan sunah Nabi Ibrahim a.s. setelah Allah s.w.t mengujinya dengan perintah menyembelih anaknya Ismail tetapi ditebus ujian itu dengan digantikan seekor haiwan untuk disembelih.

8. Imam Muslim meriwayatkan dari Ummu Salamah r.a bahawa Nabi s.a.w bersabda: "Apabila kamu telah melihat anak bulan Zulhijjah dan ada di kalangan kamu yang ingin berkorban (sembelih haiwan ternakan), hendaklah dia menahan dirinya dari (memotong) rambut dan kukunya", dan di dalam riwayat lain: “Maka janganlah dia memotong rambut dan kukunya sehinggalah dia berkorban."

Perintah (sunat) ini berkemungkinan ada persamaan dengan hukum bagi mereka yang membawa haiwan ternakan (ketika mengerjakan haji) dari kampung mereka yang telah dijelaskan oleh Allah, maksudnya, "Dan janganlah kamu mencukur rambut kamu sehinggalah haiwan ternakan (yang dibawa untuk dihadiahkan dagingnya kepada penduduk Mekah) itu sampai ke tempatnya)."

Larangan (memotong rambut dan kuku) ini pada zahirnya adalah khusus kepada pemunya haiwan korban tersebut sahaja dan tidak termasuk isteri dan anak-anaknya melainkan mereka juga mempunyai haiwan seumpamanya, dan tidak mengapa jika yang berkenaan membasuh dan menggosok kepalanya kemudian terjatuh beberapa helai rambutnya.

9. Setiap muslim hendaklah berusaha menunaikan solat hari raya secara berjemaah, mendengar khutbah oleh imam selepas solat tersebut supaya mendapat pengajaran daripadanya.

AIDILADHA ITU LEBIH BERMAKNA
Hakikatnya, pengertian Sambutan Aidiladha ini adalah lebih bermakna daripada Sambutan Aidilfitri. Tetapi kini, perkara yang berlaku adalah sebaliknya. Manusia lebih ghairah dalam persiapan Sambutan Aidilfitri tetapi untuk Aidiladha, setakat penyembelihan & solat raya. Itupun jika mereka meraikannya. Jika tidak, maka tiadalah bezanya pun dengan hari-hari cuti yang dilaluinya. Dipetik daripada nukilan seorang akhi dalam blognya, saya tertarik ketika terbaca temuramah Jimmy Shanley dengan seorang Ustaz dalam rancangan Trek Selebriti, jika tidak silap perbualan mereka adalah sepeti berikut:

Jimmy: So ustaz, apakah persiapan ustaz untuk menyambut Aidilfitri yang bakal menjelang tiba ini??

Ustaz : Saya sebenarnya tidak melakukan banyak persiapan untuk Aidilfitri , kerana saya lebih ingin melebihkan Aidiladha daripada Aidilfitri. Seperti mana yang kita sedia maklum, bahawasanya, keberkatan aidiladha itu lebih LUAS. Walaubagaimanapun, Saya tetap menyambut Aidilfitri ini dengan sesederhana yang mungkin.

Hakikatnya sahabat, cuba kita renungkan kembali...
• Adakah kita melebihkan Aildilfitri daripada Aildiladha?
• Adakah kita sedar dengan kedatangan Zulhijjah ini?
• Adakah kita perbanyakkan amalan kita ketika memasuki 10 hari awal Zulhijjah?
• Adakah amalan Qiammulail itu masih teguh bersama kita ketika Zulhijjah ini? Ataupun telah lama kita simpan bersama Ramadhan yang telah berlalu?
Inilah peluang kedua kita selepas Ramadhan.
• Buat sahabat yang masih merindui Ramadhan yang telah berlalu, jadikanlah Zulhijjah ini sebagai pengubat rindumu padaNYA agar lebih bermakna buatmu.
• Namun bagi mereka yang menyesali pemergian Ramadhan, ketahuilah :
“BAHAWASANYA INILAH PELUANG KEDUA YANG TUHAN BERIKAN UNTUKMU..”
KENAPA SAMBUTAN AIDILADHA DITUNTUT LEBIH MERIAH DARIPADA AIDILFITRI?
Pertama: Kita dituntut bertakbir membesarkan Allah hanya dalam lingkungan 12-14 jam sahaja pada hari Raya Aidilfitri sedangkan tempoh takbir Hari Raya Korban ialah 4 hari lamanya.

Kedua: Kita diharamkan berpuasa 1 hari sahaja (I Syawal) pada Aidilfiri tetapi kita diharamkan berpuasa selama 4 hari lamanya (10 Zulhijjah dan 3 Hari Tasyriq iaitu 11, 12 dan 13 Zulhijjah)pada hari raya Korban.

“Tiada amal anak Adam yang lebih disukai Allah s.w.t.. pada hari Aidiladha melainkan ibadat korban. Sesungguhnya binatang yang dikorbankan itu akan datang pada hari kiamat lengkap dengan tanduk, bulu dan kukunya. Sesungguhnya ibadat korban ini diredhai Allah s.w.t. sebelum darah binatang itu jatuh ke bumi. Maka hendaklah kamu berasa lapang dada dan reda akan ibadat korban yang kamu lakukan.” (Hadis riwayat At-Tirmizi)


Dapatkan Mesej Bergambar di Sini


"To share, To give"


Wednesday, November 11, 2009

NASIHAT IMAM SYAFIE UNTUK MENCARI SAHABAT... (sambungan)


Sahabat sejati pada waktu susah.
Kawan yang tidak dapat dimanfaatkan ketika susah lebih mendekati musuh daripada sebagai kawan.
Tidak ada yang abadi dan tidak ada kawan yang sejati kecuali yang menolong ketika susah.
Sepanjang hidup aku berjuang bersungguh-sungguh mencari sahabat sejati hingga pencarianku melenakanku. Kukunjungi seribu negara, namun tidak satu negara pun yang penduduknya berhati manusia.

Rosaknya keperibadian seseorang.
Dalam diri manusia itu ada dua macam potensi penipuan dan rayuan.
Dua hal itu seperti duri jika dipegang dan ibarat bunga jika dipandang. Apabila engkau memerlukan pertolongan mereka, bersikaplah bagai api yang dapat membakar duri itu.

Menghormati orang lain.
Barang siapa menghormati orang lain, tentulah dia akan dihormati. Begitu juga barang siapa menghina orang lain, tentulah dia akan dihinakan.
Barang siapa berbuat baik kepada orang lain, baginya satu pahala. Begitu juga barang siapa berbuat jahat kepada orang lain, baginya seksa yang dahsyat.

Menghadapi musuh.
Ketika aku menjadi pemaaf dan tidak mempunyai rasa dengki, hatiku lega, jiwaku bebas daripada bara permusuhan. Ketika musuhku berada di hadapanku, aku sentiasa menghormatinya. Semua itu kulakukan agar aku dapat menjaga diriku daripada kejahatan. Aku nampakkan keramahan, kesopanan dan rasa persahabatanku kepada orang yang kubenci, seperti aku nampakkan hal itu kepada orang yang kucintai.

Tipu daya manusia.
Mudah-mudahan anjing itu dapat bersahabat denganku kerana bagiku dunia ini sudah hampa daripada manusia. Sehina-hinanya anjing, ia masih dapat menunjukkan jalan untuk tuannya yang tersesat, tidak seperti manusia jahat yang selamanya tidak akan memberi petunjuk.
Selamatkanlah dirimu, jaga lidahmu baik-baik, tentu kamu akan bahagia walaupun kamu terpaksa hidup sendiri.

Tempat menggantungkan harapan.
Apabila engkau menginginkan kemuliaan orang yang mulia, maka dekatilah orang yang sedang membangun rumah untuk Allah. Hanya orang yang berjiwa mulia yang dapat menjaga nama baik dirinya dan selalu menghormati tamunya, baik ketika hidup mahu pun setelah mati.

Menjaga nama baik.
Jika seseorang tidak dapat menjaga nama baiknya kecuali dalam keadaan terpaksa, maka tinggalkanlah dia dan jangan bersikap belas kasihan kepadanya. Banyak orang lain yang dapat menjadi penggantinya. Berpisah dengannya bererti istirahat. Dalam hati masih ada kesabaran buat kekasih, meskipun memerlukan daya usaha yang keras.
Tidak semua orang yang engkau cintai, mencintaimu dan sikap ramahmu kadang kala dibalas dengan sikap tidak sopan. Jika cinta suci tidak datang daripada tabiatnya, maka tidak ada gunanya cinta yang dibuat-buat. Tidak baik bersahabat dengan pengkhianat kerana dia akan mencampakkan cinta setelah dicintai. Dia akan memungkiri jalinan cinta yang telah terbentuk dan akan menampakkan hal yang dulunya menjadi rahsia.


Wednesday, October 7, 2009

NASIHAT IMAM SYAFIE UNTUK MENCARI SAHABAT...



PERSAHABATAN tulen memang sukar dicari. Hanya mereka yang benar-benar bersahabat dengan hati tulus dan ikhlas dapat mencari erti persahabatan tulen.
Dalam hal ini, Iman Syafie ada memberikan nasihat dalam soal persahabatan.
Aku mencintai sahabatku dengan segenap jiwa ragaku, seakan-akan aku mencintai sanak saudaraku.

Sahabat yang baik adalah yang sering sejalan denganku dan yang menjaga nama baikku ketika aku hidup atau selepas aku mati.

Aku selalu berharap mendapatkan sahabat sejati yang tidak luntur baik dalam keadaan suka atau duka. Jika itu aku dapatkan, aku berjanji akan selalu setia padanya.
Kuhulurkan tangan kepada sahabatku untuk berkenalan kerana aku akan berasa senang. Semakin ramai aku peroleh sahabat, aku semakin percaya diri.

Mencari sahabat pada waktu susah.
Belum pernah kutemukan di dunia ini seorang sahabat yang setia dalam duka. Pada hal hidupku sentiasa berputar-putar antara suka dan duka.
Jika suka melanda, aku sering bertanya: “Siapakah yang sudi menjadi sahabatku?”
Pada waktu aku senang, sudah biasa ramai yang akan iri hati, namun bila giliran aku susah mereka pun bertepuk tangan.



Pasang surut persahabatan.
Aku dapat bergaul secara bebas dengan orang lain ketika nasibku sedang baik.
Namun, ketika musibah menimpaku, kudapatkan mereka tidak ubahnya roda zaman yang tidak mahu bersahabat dengan keadaan.
Jika aku menjauhkan diri daripada mereka, mereka mencemuh dan jika aku sakit, tidak seorang pun yang menjengukku.
Jika hidupku berlumur kebahagiaan, banyak orang iri hati, jika hidupku berselimut derita mereka bersorak sorai.
Mengasingkan diri lebih baik daripada bergaul dengan orang jahat.
Apabila tidak ketemu sahabat yang takwa, lebih baik aku hidup menyendiri daripada aku harus bergaul dengan orang jahat.

Sukarnya mencari sahabat sejati.
Tenanglah engkau dalam menghadapi perjalanan zaman ini. Bersikap seperti seorang paderi dalam menghadapi manusia.
Cucilah kedua-dua tanganmu dari zaman itu dan daripada manusianya. Peliharalah cintamu terhadap mereka. Maka, kelak kamu akan memperoleh kebaikannya.
Sepanjang usiaku yang semakin tua, belum pernah aku temukan di dunia ini sahabat yang sejati.
Kutinggalkan orang bodoh kerana banyak kejelekannya dan kujanji orang mulia kerana kebaikannya sedikit.

(bersambung...)


Saturday, September 26, 2009

RAHMAT UJIAN... dan Sebuah kisah: "ANTARA SABAR DAN MENGELUH"

Sangat tenang dan senang mendengar nasyid RAHMAT UJIAN (tak ingat la siapa yang nyanyi... kalay tak silap Mestica)... Rasa macam dapat semangat untuk teruskan hidup... Kat bawah ni antara liriknya...

Dalam derita ada bahagia
Dalam gembira mungkin terselit duka
Tak siapa tahu tak siapa pinta ujian bertamu
Bibir mudah mengucap sabar
Tapi hatilah yang remuk menderita
Insan memandang mempunyai pelbagai tafsiran
Segala takdir terimalah dengan hati terbuka
Walau tersiksa ada hikmahnya
Harus ada rasa bersyukur di setiap kali ujian menjelma
Itu jelasnya membuktikan Allah mengasihimu setiap masa
Diuji tahap keimanan sedangkan ramai terbiar dilalaikan
Hanya yang terpilih sahaja antara berjuta mendapat rahmatNYA
Allah rindu mendengarkan rintihanmu berpanjangan
Bersyukurlah dan tabahlah menghadapi

**Di sini juga ana nak selitkan sebuah kisah. Kisah seorang muslimah yang ditimpa ujian, namun sangat tenang menghadapi ujian. Terjumpa kisah ni semasa mengemas-ngemas bilik. Bila ana terbaca kisah ni, rasa insaf dalam diri. Terdetik dalam hati, setiap kali kita ditimpa ujian, seringkali kita merungut, mengeluh, marah-marah... Tanpa sedar akan hikmah berlakunya perkara tersebut. Betul tak??? Semoga Allah ampunkan segala dosa-dosa kita...(aminn).

Ayuh! Jom kita hayati kisah muslimah tersebut...

Pada zaman dahulu ada seorang yang bernama Abul Hassan yang pergi haji di Baitul Haram. Di waktu wakaf tiba-tiba ia terlihat seorang wanita yang bersinar dan berseri wajahnya.

"Demi Allah, belum pernah aku melihat wajah secantik dan secerah wanita itu. Tidak lain, itu pasti kerana tidak pernah risau dan bersedih hati."

Tiba-tiba wanita itu mendengar ucapan Abul Hassan lalu ia bertanya, "Apakah katamu hai saudaraku? Demi Allah aku tetap terbelenggu oleh perasaan dukacita dan luka hati kerana risau, dan seorang pun yang menyekutuinya aku dalam hal ini."

Abul Hassan bertanya, "Bagaimana hal yang merisaukanmu?"

Wanita itu menjawab, "Pada suatu hari ketika suamiku sedang menyembelih kambing korban, dan pada aku mempunyai dua orang anak yang sudah boleh bermain dan yang satu masih menyusu, dan ketika aku bangun untuk membuat makanan, tiba-tiba anakku yang agak besar berkata pada adiknya, "Hai adikku, sukakah aku tunjukkan padamu bagaimana ayah menyembelih kambing?"

Jawab adiknya, "Baiklah kalau begitu"

Lalu disuruh adiknya baring dan disembelihkannya leher adiknya itu. Kemudian dia merasa ketakutan setelah melihat darah memancut keluar dan lari ke bukit yang mana di sana ia dimakan oleh serigala. Lalu ayahnya pergi mencari anaknya itu sehingga mati kehausan dan ketika aku bayiku untuk keluar mencari suamiku, tiba-tiba bayiku merangkak menuju ke periuk yang berisi air panas. Ditariknya periuk tersebut dan tumpahlah air panas terkena ke badannya habis melecur kulit badannya. Berita ini terdengar kepada anakku yang telah berkahwin dan tinggal di daerah lain. Maka ia jatuh pengsan hingga sampai menuju ajalnya. Dan kini aku tinggal sebatang kara di antara mereka semua."

Lalu Abul Hassan bertanya, "Bagaimanakah kesabaranmu menghadapi semua musibah yang sangat hebat itu?"

Wanita itu menjawab, "Tiada seorang pun yang dapat membezakan antara sabar dengan mengeluh melainkan ia menemukan di antara keduanya ada jalan yang berbeza. Adapun sabar dengan memperbaiki yang lahir, maka hal itu baik dan terpuji akibatnya. Adapun mengeluh, maka orangnya tidak mendapat ganti yakni sia-sia belaka."

Demikianlah cerita di atas. Satu cerita yang dapat dijadikan teladan, di mana kesabaran sangat digalakkan oleh agama dan harus dimiliki oleh setiap orang yang mengaku beriman kepada Allah dalam setiap terkena musibah dan dugaan dari Allah.
Kerana itu Rasulullah s.a.w bersabda dalam firman Allah dalam sebuah hadith Qudsi:
"Tidak ada balasan bagi hambaKU yang mukmin, jika AKU ambil kekasihnya dari ahli dunia kemudian ia sabar, melainkan syurga baginya."

Begitu juga mengeluh. Perbuatan ini sangat dikutuk oleh agama dan hukumnya haram (kalau ana salah tolong perbetulkan).
Kerana itu Rasulullah s.a.w bersabda: "Tiga macam daripada tanda kekafiran terhadap Allah, merobek baju, mengeluh dan menghina nasab orang."

Dan sabda baginda pula, "Mengeluh termasuk kebiasaan Jahiliyyah, dan orang yang mengeluh, jika ia mati sebelum taubat, maka Allah akan memotongnya bagi pakaian dari wap api neraka." (Riwayat oleh Imam Majah)

Semoga kita dijadikan sebagai hamba Tuhan yang sabar dalam menghadapi segala musibah.


Tuesday, September 22, 2009

Eidul Fitri

20 September 2009, bersamaan 1 Syawal 1430H.
Raya kedua aku di Jordan. Tanpa keluarga, sanak-saudara dan sahabat handai di Malaysia. Tanpa 'adik-beradik' yang lain. Ramai yang pulang untuk beraya bersama-sama keluarga di Malaysia. Walaupun begitu, hari raya kali ini tetap meriah. Ditambah dengan kehadiran 'adik-beradik' baru yang datang dari pelbagai tempat untuk sama-sama menuntut ilmu di bumi anbiyak ini. Walaupun yang berada di Mu'tah ni sikit, tapi warganya tetap ceria bersama.

Entah bila lagi kita akan dapat beraya bersama-sama. Ada yang bakal pulang, meneruskan perjungan setelah tamat pengajian di sini. Ada yang berbaki setahun. Apa pun, kita semua akan berpisah pada suatu hari nanti. Jangan jemu untuk bertemu kembali. Pahatkan memori kita di hati....


Saturday, September 19, 2009

RAMADHAN KALI INI

Hari ini, 19 SEPTEMBER 2009… terpalit kenangan semalam di ingatan.
Macam-macam ragam dan macam-macam gaya… Semuanya telah berakhir semalam. IHYA RAMADHAN. Belum puas menikmati ramadhan, tapi terpaksa melepaskannya pergi, kerana itu adalah ketentuan Ilahi.

IHYA RAMADHAN… Menggamit pelbagai kenangan, bukan sekadar program, tetapi satu amanah yang perlu dipikul dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai daie ILALLAH. Melatih setiap insan; baik AJK atau para peserta untuk menghayati serta melalui hari-hari di sepanjang bulan ini.

Hari ini, hanya beberapa jam sahaja lagi, ramadhan bakal berlalu meninggalkan kita. Sedih, namun bersyukur kerana dapat menikmati ramadhan kali ini dengan penuh bermakna. Dapat menghidupkan malam-malam di bulan yang penuh barakah ini. Ramadhan kali ini penuh dengan warna-warni, gelak ketawa, suka duka dan tangis hiba para AJK Ihya’ Ramadhan. Apa pun, semua itu bakal menjadi sejarah dan menjadi kenangan terindah pada hari-hari yang mendatang.



18 September 2009, 3.45 petang.

Menanti ketibaan para peserta Ihya’ Ramadhan, sementara para AJK menjalankan tanggungjawab masing-masing di Solah Abbasi.

4.30 petang

Para peserta tiba di tempat program, dan menunaikan solat Asar

4.50 petang (lebih kurang)

Program bermula. Dimulai dengan majlis khatam al-Quran yang terdiri daripada 9 orang pelajar yang telah dipilih untuk mengetuai majlis bacaan tersebut. Setelah selesai, para peserta yang terlibat diberi sedikit cenderahati oleh Ustaz Arman.

5.30 petang

Majlis penutup Program Ihya’ Ramadhan bermula. Dipengerusikan oleh Hannan dan Ikhwan Zolkapli. Diikuti ucapan pengarah program, kemudian ucapan Ustaz Arman, seterusnya perasmian penutup Program Ihya’ Ramadhan. Sementara menantikan waktu untuk berbuka puasa, para hadirin dihidangkan dengan persembahan slide show –slide yang ditayang adalah hasil dari pemenang pertandingan slide show-

6.45 petang

Majlis berbuka puasa, dengan hidangan buah tamar, sedikit kuih-muih beserta air. Kemudian, solat fardu Maghrib. Setelah usai, kembali menikmati hidangan –buffet nasi dan lauk-pauk –

8.15 malam

Menunaikan solat fardu Isyak, solat sunat tarawih, dan sedikit pengisian –Ustaz Miqdad & Ustaz Tarmizi– Selesai program, para peserta pulang ke rumah masing-masing.


RAGAM SEPANJANG SEBULAN PROGRAM IHYA RAMADHAN

MINGGU PERTAMA (28 OGOS 2009)

Bermula dengan majlis perasmian yang dirasmikan oleh Ustaz Azmir, diikuti dengan ceramah oleh pensyarah yang dijemput khas dari Universiti Mu’tah. Selesai, majlis berbuka puasa dan solat maghrib berlangsung.



MINGGU KEDUA (3 SEPTEMBER 2009)

Program ihya ramadhan diteruskan seperti minggu yang sebelumnya. Pada hujung minggu –hari jumaat- akan diadakan majlis berbuka puasa, tazkirah –dari doctor jamiah- dan solat maghrib berjamaah. Setelah usai menunaikan tanggungjawab kepada Allah, para hadirin dijamu dengan makanan berat yang dimasak oleh AJK yang terlibat. Kemudian, masing-masing menuju ke Masjid Syuhada untuk menunaikan solat Isyak dan solat sunat terawih.
Kebiasaanya, selesai menunaikan solat terawih, peserta yang terlibat mengikuti majlis tadarus al-Quran yang diadakan di setiap rumah, pada setiap malam. Tetapi, berbeza pada hujung minggu (pada hari khamis), kerana diraikan dengan program-program tertentu dan qiamullail perdana. Kalau hari Jumaat, tadarus macam biasa.
Pada minggu kedua ini Program Ihya Ramadhan diteruskan dengan tayangan perdana sempena bulan Ramadhan… (owh! Pada minggu ni aku tak sihat, jadi tak dapat ikut program… demam… hmm. Jadi, tak tahu la ape yang berlaku…)

Esoknya (jumaat), walaupun kurang sihat, aku join jugak program sebab dah tak larat nak terbaring atas katil. Terkejut orang yang tolong bawak aku ke hospital! ~programnya dah tertulis kat atas tadi, baca je lah yang kat atas tu. ~

MINGGU KEDUA (4 SEPTEMBER 2009)

Program dijalankan seperti biasa, sama macam dua minggu lepas. Hari Khamis, program selepas Isyak –minggu ni ada POP KUIZ (bahagian akhawat), syabab tayangan–. Macam-macam gaya dan ragam para peserta yang masuk Pop Kuiz. Pengerusi, Basyirah dan Hajar. Peserta: kumpulan Qutoyif Qisytah, kumpulan, Busyro Lana, kumpulan Laskar Pelangi dan kumpulan Khaulatul Azwar.
Alhamdulillah, walaupun peserta yang hadir tidak seramai yang disangka, namun program tetap berjalan dengan lancar. Habis program, tidur dan qiamullail. Esoknya, program berjalan seperti biasa –majlis berbuka, tazkirah, solat maghrib dan makan-makan– Lepas tu, tadarus beramai-ramai.

MINGGU KETIGA (10 SEPTEMBER 2009)

Minggu ni musabaqah al-Quran. Antara peserta yang melibatkan diri: Kak Wa, Kakak, Aishah Harun, Hanisah DQ, Azzah, Faiz Solehan, dan aku sendiri –Ramlah-. Malu weihh! Tak pernah masuk pun musabaqah ni. Tiba-tiba kena jadi bidan terjun plak tu, sama la keadaannya dengan Aishah Harun ni. Sebabnya tak cukup orang. Sebelum pertandingan, macam-macam ragam yang dapat aku tengok. Kak Wa dah praktis dari semalamnya. Kakak pulak siap telefon abah kat Malaysia, nak belajar tarannum! Semangat! Aishah pun tak kurang praktisnya. Aku?! Tak berlatih pun, sebab ketor dan berdebor… Aku peserta yang terakhir malam tu. Berpeluh juga dibuatnya masa musabaqah tu.

MINGGU AKHIR –KEEMPAT– (17 SEPTEMBER 2009)

Malam Kesenian Ihya’ Ramadhan. Alhamdulillah pada kali ini peserta yang hadir lebih ramai dari biasa. Ditambah dengan kehadiran para pelajar yang baru.
Alhamdulillah, program pada kali ini juga berjalan dengan lancar. Antara persembahan: nasyid, boria, dikir barat, lakonan dan pertunjukan fesyen. Macam-macam gaya dan telatah para peserta yang sangat menghiburkan hati. Majlis dipengerusikan oleh Hajar dan Aishah Harun. Usai program, hadirin dihidang dengan mee sup, dan kemudian masing-masing melabuhkan tirai untuk beradu. Qiamullail pada keesokannya.

(18 SEPTEMBER 2009)

Bermulalah hari ini, PROGRAM IHYA RAMADHAN melabuhkan tirai dengan pelbagai acara yang telah dirancang oleh para AJK program. (program seperti yang tertulis di atas sekali…)

~Para AJK bergambar setelah selesai mengemas tempat berlangsung program~



~Indahnya UKHUWWAH KERANA ALLAH. Terasa manisnya ketika bersama-sama kalian. Moga ukhuwwah yang mengalir ini tidak terhenti setelah tamatnya program…~

~Kenangan indah bersama-sama kalian. Ramadhan yang membawa berjuta keberkatan.~

~~RAMADHAN YANG SAMA, NATIJAH YANG BERBEZA~~

Ramadhan kali ini sememangnya berbeza dari Ramadhan yang sebelumnya.


.::: Bicara Rasa Bicara Hati :::.

Seni cindai pusaka purba,
Disandang mari di hujung bahu,
Jangan serang membabi buta,
Jerat maut sedia menunggu.

Seni cindai pusaka purba,
Disandang oleh panglima Melayu,
Kalau engkau sudah sedia,
Aku telah sedia menunggu.

Ahlul Bayt Fuqaihah

PENGUNJUNG

Twitter Delicious Facebook Digg Favorites More