CIRI-CIRI UTAMA PEMIMPIN MUSLIM SEJATI
1-BERIMAN DAN ADIL
Keimanan yang mantap akan menjelmakan peribadi yang luhur dan pastinya dengan sifat-sifat yang mulia dan terpuji. Pemimpin yang beriman akan menghalakan orang-orang di bawah tanggungjawab ke arah matlamat yang benar. Keadilan pula, akan menjamin setiap hak individu terpelihara dan suasana yang murni akan dapat dibentuk untuk memastikan kesejahteraan bersama.
2-MENGENALI DAKWAH
Ciri ini sangat penting kerana pemimpin sebenarnya adalah seorang daie yang bertanggungjawab untuk menyeru ummat ke arah penghayatan Islam yang sebenar dan menyeluruh. Apabila seorang pemimpin dapat menampilkan imejnya sebagai daie dan murabbi yang baik, peranannya akan menjadi lebih berkesan dan matlamatnya untuk melahirkan generasi yang menjadikan Islam sebagai landasan hidup akan lebih mudah tercapai. Oleh itu, aktiviti perorganisasian dan gerakan dakwah perlu diselaraskan dan sebatikan dalam kepimpinannya.
3- MENGENALI JIWA
Antara kewajipan pemimpin ialah mengetahui segi-segi kekuatan dan kelemahan yang ada pada dirinya. Pemimpin yang tidak tahu potensi-potensi dan keupayaan tidak akan dapat menjadi pemimpin yang berjaya. Malah barangkalai akan menyebabkan berlakunya pelbagai kemudharatan dan malapetaka terhadap dakwah dan kepimpinannya. Oleh itu, seorang pemimpin mestilah:
- -Mengetahui titik kelemahan yang ada pada dirinya lalu memperbaikinya.
- -Mencari sudut kekuatan yang ada pada dirinya serta berusaha meningkat dan memajukannya lagi.
- -Berusaha bersungguh-sungguh untuk memperkayakan pengetahuan umum dan banyak mempelajari pelbagai topik, pendapat dan fikiran di dalam lapangan politik, sosial, ekonomi dan lain-lain.
- -Memberi perhatian dengan mengkaji peribadi pemimpin Islam dan bukan Islam serta mengetahui cara kepimpinan mereka, sebab-sebab dan faktor kejayaan atau kegagalan mereka.
Perhatian yang diberikan kepada pengikutnya adalah dengan mengenali mereka sekadar yang perlu, mengambil tahu hal ehwal mereka, ikut serta bersama-sama merasai riang dan duka serta bersungguh-sungguh mencari penyelesaian bagi masalah mereka. Semua ini dapat membantu pemimpin itu untuk mengawal serta membina thiqah orang bawahan terhadap dirinya seterusnya dapat mengambil faedah daripada suasana tersebut.
Pemimpin yang bersifat dingin terhadap orang bawahannya menyebabkan hubungan antara kedua-dua belah pihak tidak begitu intim. Anak buah yang berasa dipinggirkan mungkin akan mengambil sikap tak kisah sahaja kepada pemimpin mereka. Akibatnya sesuatu perencanaan yang telah disusun tidak dapat dilaksanakan tanpa kerjasana antara kedua-dua belah pihak. Walau bagaimanapun, seorang pemimpin janganlah keterlaluan dalam sikap untuk mengambil perhatian orang bawahannya kerana ini juga membuatkan mereka berasa dikongkong dan tidak bebas.
5-TELADAN YANG BAIK
Para pengikut sentiasa memerhatikan dan memandang kepada pemimpin sebagai model yang baik untuk diikuti dan dicontohi. Telatah pimpinan, budi pekerti, kata-kata dan segala perbuatannya mempunyai pengaruh yang sangat berkesan kepada setiap pengikutnya. Rasulullah adalah merupakan satu teladan yang amat baik bagi seluruh umat manusia. Firman Allah yang bermaksud:
"Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu satu contoh ikutan yang baik bagimu............" (al-Ahzab : 21)
Sedang para sahabat pula merupakan para pemimpin yang soleh dan penganjur-penganjur yang mendapat petunjuk Ilahi yang disifatkan sendiri oleh baginda:
"Sahabat-sahabatku umpama bintang di langit, siapa sahaja antara mereka yang kamu ikuti, maka pasti kamu akan beroleh petunjuk" (Hadith sahih Riwayat Bukhari)...
6- PANDANGAN YANG TAJAM
Kemampuan pemimpin dalam melakukan penyiasatan yang cepat dan tepat bagi mana-mana masalah serta kemampuan mengambil keputusan yang tegas dalam pelbagai situasi dan keadaan, semuanya akan menimbulkan kepercayaan dan penghargaan orang bawahan terhadap dirinya.
Sebaliknya, sikap teragak-agak, kabur, resah dan tidak tegas daripada pemimpin semuanya boleh mencetuskan keadaan kucar-kacir dan menyebabkan menurunnya kepercayaan orang bawahan dan menyebabkan hilangnya pengawalan terhadap mereka. Sesungguhnya benar sabda Rasulullah:
"Bahawa Allah suka pada pandangan yang tajam ketika berhadapan dengan kekeliruan dan Allah suka pada akal yang matang ketika nafsu menyerang".
7- KEMAHUAN DAN KEKUATAN
Kemahuan dan kekuatan adalah satu rukun daripada rukun-rukun keperibadian pemimpin. Dengannya segala kepayahan akan dapat diatasi. Kepimpinan dewasa ini memerlukan tekad yang kuat dan tegas serta tidak mempedulikan segala tribulasi yang mendatang. Setiap pemimpin haruslah sedar bahawa bukanlah sesuatu yang mudah untuk melaksanakan amanah kepimpinan ini. Namun dia tidak mempunyai pilihan yang lain kecuali menguatkan semangat dan bersungguh-sungguh dalam setiap perencanaan dan perlaksanaa untuk memastikan matlamat-matlamat yang telah digariskan akan tercapai.
8- HIKMAH DAN MATANG DALAM TINDAKAN
Dalam menangani permasalahan hidup, pemimpin adalah merupakan tempat rujuk untuk menyelesaikan masalah. Apabila ini berlaku, pemimpin haruslah menunjukkan kematangan dalam mendapat keputusan supaya wibawanya akan meningkat. Hikmah di sini bermaksud supaya semua tindakan dan keputusan yang berhasil kesan yang positif dan perlaksanaannya tidak bercanggah dengan syariat. Oleh itu, sekiranya perlu kepada ketegasan atau kelembutan maka ia perlu diberikan penekanan sepenuhnya.
9- OPTIMISME
Optimisme adalah antara perkara-perkara dasar yang penting bagi peribadi yang memipin. Oleh yang demikian pemimpin harus bersifat optimis, berharapan penuh dan berlapang dada. Tetapi ini janganlah pula memalingkan daripada membuat perhitungan atas sebab yang boleh menggagalkan usahanya pada masa-masa yang akan datang.
Sikap putus asa adalah merupakan satu faktor terpenting yang boleh menyebabkan keruntuhan dan kemusnahan dalam kehidupan orang perseorangan dan kumpulan-kumpulan tertentu. Tidak harus dikatakan berputus asa itu satu hikmah atau kebijaksanaan sepertimana tidak harus juga harapan itu dinamakan terburu nafsu.
Begitu juga harapan itu janganlah ditundukkan kepada tekanan-tekanan sentimen tapi hendaklah selaras dengan suara akal serta perencanaan yang teratur.
Agama Islam hari ini sedang mengharungi perjuangan yang sengit sama ada di dalam mahupun di luar perjuangan, di segenap pihak dan di pelbagai bidang serta lapisan. Oleh itu tidaklah sama sekali sesiapa pun melarikan diri daripada medan perjuangan dan membelakangkan diri daripadanya. Malah perjuangan itu harus dihadapi dengan hati yang gigih dan tabah disertai tekad dan azam untuk melawan kebatilan dan menegakkan kebenaran.
10-MENGAMALKAN SYURA
Syura merupakan institusi teras dalam kepimpinan Islam. Perlaksanaan syura melambangkan sikap terbuka seorang pemimpin dalam menentukan mauqif dan pendirian secara bersama, walaupun seorang pemimpin itu mungkin mempunyai pandangan yang tersendiri dalam sesuatu perkara. Melalui syura juga mauqif dan keputusan yang dibuat adalah lebih baik kerana wujud gabungan idea di antara pemimpin dan pihak lain.
11- KOMBINASI NILAI UMARA' DAN ULAMA'
Umara' ialah golongan yang wajib ditaati seperti yang telah dinaskan dalam al-Quran iaitu pada perkara yang menepati syariat Islam. Ulama' pula adalah setinggi-tinggi darjat manusia kerana ulama' itu pewaris nabi. Maka ciri-ciri umara' dan ulama' perlu diintegrasikan untuk melahirkan natijah kepimpinan yang benar-benar mantap, yang didokong oleh karisma kepimpinan, ketinggian ilmu dan inayah daripada Allah.
12- DAYA TARIKAN SEMULA JADI
Ia adalah satu tabie yang mana sekiranya ada pada diri, maka dia dapat menarik hati orang lain tanpa usaha yang banyak. Kethiqahan, muka manis dan sikap peramah merupakan penarik zahiriah yang kuat pengaruhnya untuk mewujudkan asas kepimpinan yang baik dan berkesan. Ini adalah satu unsur pembentukan peribadi yang kuat sekali.
Kesimpulannya, untuk membina ciri-ciri unggul seperti di atas, tiga perkara di bawah perlu diberikan penekanan serius oleh setiap pemimpin iaitu:
a) KEBERSIHAN JIWA DAN ROHANI
Pemimpin haruslah merasakan beratnya amanah yang dipikulnya dan dialah orang yang paling patut menunaikannya. Di samping itu, segala tanggungjawab kepimpinan dan kewajipan terhadap masyarakat umum sekalipun banyak dan besar, tidaklah harus menghalangnya dari memberi perhatian kepada dirinya sendiri dan menyelidik serta memeriksa segala keaiban dan dosanya sendiri. Jangan tertipu dengan kerja-kerja yang tidak habis itu sehingga boleh menghilangkan keikhlasan yang mengakibatkan kesan kerjanya sia-sia. Allah tidak akan menerima sesuatu amalan melainkan yang suci ikhlas dan baik sahaja.
Firman Allah yang bermaksud: "Dan kami perhatikan amalan yang telah mereka kerjakan, lalu kami jadikan debu-debu yang bertaburan" (al-Furqan : 23)
Seorang pemimpin mestilah sentiasa mengingati Allah, sentiasa mengingati mati, tentang kubur, neraka dan syurga. Hendaklah dia mengelolakan amalannya, memperbanyakkan amalan sunat, tidak meninggalkan qiamullail dengan solat tahajjud di tengah malam.
Firman Allah yang bermaksud: "Sungguh, bangun malam itu lebih kuat (mengisi jiwa); dan (bacaan di waktu itu) lebih berkesan" (al-Muzzammil : 6)
b) KESIHATAN BADAN DAN KEKUATANNYA
Pemimpin juga janganlah mengabaikan kesihatannya. Orang mukmin yang gagah lebih dicintai oleh Allah berbanding mukmin yang dhaif. Tuntutan dakwah dan bebanan tanggungjawab sebagai pemimpin tidak akan terdaya dilaksanakan oleh orang-orang yang lemah dan sakit tubuh badannya.
Posisi kepimpinan adalah penuh dengan pemikiran, kerja dan perjuangan yang bersambung-sambung dan tidak berhenti-henti. Beberapa posisi ini mempunyai kaitan saraf dengan pusatnya yang kompleks dalam tubuh seseorang. Oleh itu, selagi anggota tubuh dan pancaindera tidak berada dalam keadaan sihat dan cergas, maka seseorang itu akan kehilangan tenaga untuk menyalurkan kepimpinannya.
c) KEPUYAAN MENTAL DAN PEMIKIRAN
Begitulah juga akal. Memerlukan bahan-bahan yang boleh menggalakkan kesuburan, kematangan dan keuntungan. Bagi pemimpin, makanan fikiran haruslah terdiri daripada pelbagai bahan. Tidak patut seseorang itu mengatakan bahawa dia sudah berpada dengan pengetahuan Islamnya sahaja tanpa mengetahui sejarah silam serta lain-lain ilmu. Selagi pemimpin itu tidak mempunyai pengetahuan yang luas dan tidak mengikuti perkembangan semasa dari pelbagai bidang, maka dia tidak akan mampu memikul segala tanggungjawab dan merentasi cabaran semasa yang wujud secara berkesan.
PENUTUP
Memandangkan kepimpinan merupakan taklif syarie yang sangat besar peranan dan kedudukannya dalam kehidupan manusia di muka bumi ini, maka seharusnya individu yang diamanahkan sebagai pemimpin melengkapkan diri dengan pelbagai bekalan kepimpinan yang ditunjangi pula dengan keikhlasan semata-mata mencari mardhatillah. Tarbiyyah diri, mesyuarat, doa, tawakkal dan muhasabah perlulah dijadikan agenda penting dalam melaksanakan amanah kepimpinan ini. Semoga amanah kepimpinan yang dipegang dapat menjadi amal soleh yang akan mendapat ganjaran setimpal daripada Allah.
~Sekian~
1 comments:
Assalamu'alikum.
Menarik Judul posting diatas, walaupun sering kita jumpa judul serupa. saya tidak panjang komen di sini, akan saya tulis di (http://agus-spirit.blogspot.com)silakan klo mo liat comennya.
Mudah-mudahan bermanfaat bagi kita smua..amien.
Post a Comment